Berita

“Memang Jadi Impian Saya…,” – Aisha Retno Mahu Cuba Nasib Sertai PGLM 2026 Produksi Tiara Jacquelina, Sedia Lalui Proses Uji Bakat

Share

Penyanyi dan komposer, Aisha Retno, mengakui dirinya sudah lama menyimpan hasrat untuk terlibat dalam karya teater ikonik, Puteri Gunung Ledang.

Menurut Aisha, selepas penerbit teater, Datin Sri Tiara Jacquelina mengumumkan pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 (PGLM) pada Oktober nanti, dia merasakan peluang tersebut tidak wajar dilepaskan.

Namun begitu, penyanyi lagu Jodoh Lebaran ini menjelaskan dia perlu merangka jadual kerjanya dengan teliti terlebih dahulu kerana projek berskala besar seperti ini menuntut komitmen yang sangat tinggi.

“Memang jadi impian saya untuk terlibat di dalam teater PGLM. Sejak dahulu lagi, saya suka menonton karya Puteri Gunung Ledang.

“Ketika saya dengar ura-ura PGLM bakal kembali Oktober ini, jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang ini.

“Namun, segalanya berbalik kepada kemampuan diri saya. Saya juga perlukan waktu untuk berehat. Jadi, saya kene bijak membahagikan masa.

“Nak menjayakan teater muzikal bukannya mudah. Kita kene berikan komitmen untuk menyanyi dan menari secara langsung hampir setiap hari. Pementasan ini akan berlangsung selepas AJL40. Kita lihat bagaimana nanti,” katanya kepada MH.

Aisha berkata demikian ketika ditemui selepas berakhir pentas separuh akhir AJL40, baru-baru ini.

Sedia Uji Bakat & Terbuka Perbaiki Lakonan

Tambah Aisha, dia juga akan menyertai sesi uji bakat seperti pelakon lain bagi menilai tahap kemampuannya untuk terlibat dalam projek berkenaan.

Menurutnya, dia sentiasa terbuka untuk mempelajari ilmu baharu, khususnya dalam memperbaiki kemahiran lakonan.

“Saya akan pergi menjalani uji bakat terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada saya layak atau tidak. Saya memang nak pergi ke sisi uji bakat ini. Tak salah sebenarnya untuk saya mencuba.

“Saya akui ada beberapa pihak yang mempersoalkan kemampuan lakonan saya. Sebelum ini, saya pernah berlakon tapi saya sedar lakonan saya perlu diperbaiki lagi.

“Jadi, ada beberapa aspek yang perlu saya perkemaskan lagi. Saya akan cuba yang terbaik. Saya pasti saingannya amat sengit.

“Ramai yang ingin mencuba membawakan watak Puteri,” ujarnya yang turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan ramai yang menggalakkannya untuk menghadiri sesi uji bakat.

“Untuk pementasan ini, para pelakon mestilah tahu berlakon, menyanyi dan menari. Walaupun menyanyi merupakan forte saya tapi lagu-lagunya amat susah.

“Saya terharu bila ramai yang menyokong saya untuk pergi ke uji bakat. Di sini, saya juga ingin menyeru kepada semua yang menyukai karta PGL untuk turut sama hadir ke uji bakat.

“Kalian pasti tidak mahu melepaskan peluang ini. Bila ramai yang mencuba, persaingannya pasti akan menjadi lebih sengit,” akhirinya.

Terdahulu, sesi uji bakat PGLM2026 secara atas talian telah dibuka sehingga 27 April ini.

Mereka yang berjaya melepasi sesi uji bakat atas talian akan menerima laluan ‘fast track’ ke sesi uji bakat secara bersemuka yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mei depan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf