Memang Havoc! Groove Afgan Pikat 2,800 Peminat Setia Di Malaysia

Share

Kerinduan 2,800 peminat setia penyanyi popular Indonesia, Afgan terubat dengan berlangsungnya Konsert Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Sudah beberapa kali menjayakan persembahan di Malaysia yang sudah dianggap seperti rumah keduanya, Afgan atau nama sebenarnya, Afgansyah Reza, 33, berkata kedatangan kali ini cukup membawa makna lebih-lebih lagi selepas dua tahun ‘terkurung’ akibat pandemik Covid-19.

“Apa khabar Malaysia? Saya rindu semua, rindu saya tak?

“Saya suka sangat boleh dapat buat konsert di sini lagi… Tak bosan kalian dengan lagu-lagu cinta ya.

“Jom kita lepak-lepak sahaja malam ini,” kata Afgan sebaik muncul tepat jam 8.45 malam, disambut dengan sorakan peminat yang terhibur dengan aksi spontan penyanyi itu yang cuba bercakap seperti gaya orang Malaysia.

Sebanyak 23 buah lagu dipersembahkan dalam konsert berdurasi lebih dua jam itu, antaranya lagu ‘wajib nyanyi’ iaitu Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Pendam dan Sudah.

Kehangatan konsert diteruskan dengan aksi groovy Afgan yang semakin bijak dan ‘nakal’ mengusik peminat agar turut-turut sama-sama berdendang dengannya lebih-lebih lagi ketika lagu ‘fast beat’ dimainkan.

Penonton mula bangkit dari tempat duduk dan berdansa mengikut rentak lagu Panahan Asmara serta Sinaran sebagai tribute kepada rakan baik Afgan, Datuk Sheila Majid yang turut hadir bersama-sama suaminya, pemuzik Datuk Acis.

Selain seleksi lagu-lagu hits, Afgan turut mempersembahkan buat pertama kali lagu terbaharu, Pulih yang disifatkan sebagai karya ‘healing’ daripadanya.

“Lagu Pulih ini saya bikin ketika kita semua dalam tempoh berkurung dan saya sangat berbangga dapat bertahan dengan segala halangan dan dugaan dalam hidup.

“14 tahun perjalanan yang bukan mudah bagi saya. Saya tidak dapat menggambarkan perasaan itu dengan sebaiknya.

“Saya sangat bersyukur mempunyai peminat seperti kalian yang sangat menghargai muzik yang saya bawakan. Ia sangat bererti buat saya, i love you guys!” ucap Afgan.

Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur 2022 dibawakan penganjur, Renjana Idea Sdn Bhd.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Renjana Idea

IKLAN