“Memang Garang Dengan Anak, Asalkan Mereka Tahu Mengenai Adab,” – Ini Kata Terus-Terang Faezah Elai

Share

Pelakon Faezah Elai mengakui dia ada cara tersendiri dalam mendidik anak-anak. Malah bagi ibu berusia 36 tahun ini, dia sendiri tidak kisah andai ada yang melabelkannya dirinya sebagai ibu yang garang.

Malah katanya seperti yang dipetik mStar, dia terpaksa bertindak sedemikian kerana bimbang dengan masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja kini.

“Saya akui memang garang dengan anak-anak dan mereka pun dah faham kalau kita pandang semacam tu apa maknanya. Sekarang ni semua dah besar, tak perlu cakap banyak dah!

“Setiap ibu bapa ada cara masing-masing dalam mengajar anak dan apabila tengok keadaan remaja sekarang menyebabkan saya jadi takut.

“Biarlah orang luar nak cakap saya gila menjaga anak asalkan mereka tahu mengenai adab dan apa yang kita buat ini ada sebab,” katanya.

Pada masa sama, isteri kepada pengarah Heykal Hanfiah ini juga turut menambah, cara didikan anak sekarang sudah pun berubah berbanding dulu.

“Kalau ikutkan bapa-bapa kita dulu mengajar anak lagi garang, silap-silap boleh masuk penjara tau.

“Tapi sekarang dah berubah cara ajar anak pun dah berbeza dan kita tak guna rotan semata-mata tapi ada teknik supaya mereka ingat apa yang dilakukan itu salah.

“Saya kalau waktu bersama keluarga terutamanya ketika berada di luar, saya memang dah tak pegang telefon, fokus dan tengok anak-anak sepenuhnya. Tak ada masa nak leka main telefon,” kongsi Faezah seperti yang dipetik.

Faezah mendirikan rumah tangga dengan Heykal Hanifah pada September 2011 dan turut bersama-sama menjaga anak tirinya iaitu Luqman Hakim, Sarah dan Luq Adam.

Sementara perkahwinan bersama Heykal pula, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata, Dealova Heyrinna, 6, dan Aurora Heyrinna, 3 tahun.

Foto: Instagram Faezah Elai

IKLAN