
Pelakon Meerqeen mengakui terpaksa mengetepikan prinsip yang dipegangnya selama ini apabila menerima tawaran membintangi drama berunsur seram berjudul Dia Perempuan Sialan arahan Nurain Sharif.
Menurut Meerqeen, sebelum ini dia sudah menetapkan pendirian untuk tidak membintangi sebarang karya bergenre seram sehingga adik bongsunya, Shaqeel Shauqeen, mencecah usia 10 tahun.
Keputusan tersebut dibuat kerana Meerqeen bimbang ia mungkin boleh beri kesan tidak baik sekiranya si adik ada menontonnya.
“Saya memang ada prinsip. Saya tak akan buat cerita ‘horror’ sampai adik saya umur 10 tahun.
“Ini kerana saya tak nak apa-apa benda buruk jadi dekat dia,” kata Meerqeen kepada MH.
Pelakon drama Thariq Ridzuwan itu berkata demikian ketika ditemui pada acara Tayangan Perdana & “What’s Next on Viu” di Odeon Kuala Lumpur, pada Rabu.
Baca Artikel Lain;
Bagaimanapun, Meerqeen menjelaskan dia hanya mengetahui naskhah tersebut sebenarnya mempunyai elemen seram ketika sesi pembacaan skrip dijalankan.
“Sebenarnya cerita ini pada awalnya berunsur psiko ngeri. Saya baru tahu yang saya buat ‘horror’ masa sesi pembacaan skrip,” ulasnya lagi.
Walaupun berdepan dilema kerana terpaksa melanggar prinsip sendiri, pelakon berusia 25 tahun itu tetap memilih untuk meneruskan projek tersebut atas dasar tanggungjawab.
“Bagi saya tanggungjawab adalah tanggungjawab. Jadi nak tak nak, saya akan jalankan juga dengan ikhlas,” tambahnya lagi.
Berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran, Meerqeen menyifatkan watak yang dibawakan sebagai satu cabaran baharu.
“Selain watak seram yang memang mencabar, tapi bagi saya, setiap drama pun akan ada cabaran tersendiri dan saya cuma nak fokus serta buat yang terbaik.
“Setakat ini tak ada apa-apa yang seram lagi, mungkin sebab saya balik dengan pembantu peribadi saya,” selorohnya.
Dia Perempuan Sialan merupakan drama terbaharu terbitan Rumah Karya Citra yang diilhamkan daripada idea asal Erma Fatima.
Selain Meerqeen, karya berkenaan turut dibintangi Hannah Delisha, Caitlin Halderman dan ramai lagi.
Ia dijadualkan menemui penonton secara eksklusif di platform Viu bermula September 2026.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.