Masih Belum Sedar, Siti Sarah Bersalin Bayi Lelaki

Share

Penyanyi Siti Sarah yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira jam 5 petang tadi.

Pengurusnya, Nana Mohamad Rom bagaimanapun memaklumkan, keadaan Siti Sarah masih belum stabil. 

“Untuk makluman Sarah melahirkan bayi lelaki kira-kira jam 5 petang tadi. Walau bagaimanapun keadaan Sarah masih belum sedar. Mohon doa semua untuk dipermudahkan segala urusan,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan penyanyi Manis itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), akibat tahap oksigen tidak stabil, awal pagi tadi.

Sebelumnya, Sarah yang kini sarat hamil lapan bulan dikejarkan ke hospital sama berikutan tahap oksigen yang semakin menurun, kelmarin.

Difahamkan, Siti Sarah sepatutnya memotong gelang kuarantin pada hari sama, sebelum mengalami batuk.

Siti Sarah sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak berkenaan.

Pasangan itu berkahwin pada 2011 dan memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

IKLAN