“Manis!” – Sudah Empat Hari Berlalu, Ini Foto Indah Majlis Risik Elly Mazlein & Kekasih

Share

Sudah beberapa hari dirisik keluarga belah pihak lelaki, Elly Mazlein mengakui majlis merisik yang telah dilangsungkan merupakan antara impiannya.

Meski ia bukanlah suatu proses yang wajib untuk ke fasa perkahwinan, penyanyi lagu Bungaku Bakawali ini bagaimanapun menyatakan tiada salah andai mahu meraikan kedua belah pihak.

“Ini lebih kepada adat sebenarnya dan bukan wajib pun. Namun, tak salah kalau kita nak adakan sedikit majlis untuk meraikannya.

“Merisik impian semua wanita dan untuk majlis ini, kami adakan secara tertutup hanya untuk keluarga serta kenalan terdekat,” katanya seperti yang dipetik Harian Metro.

Pada masa sama, majlis tersebut juga adalah bagi memberi ruang kepada pihak keluarga belah lelaki dan wanita untuk saling mengenali.

“Merisik juga adalah proses untuk kedua belah keluarga saling mengenali. Terima kasih kepada bakal suami dan keluarga kerana menerima saya seadanya.

“Insya-Allah, majlis pertunangan, malam berinai berkonsepkan Cik Siti Wan Kembang, acara akad nikah dan resepsi, saya akan jemput rakan-rakan media yang banyak membantu saya selama ini.

“Insya-Allah, kita akan berjumpa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) nanti,” jelas Elly yang turut memperkenalkan gerangan si jantung hati pada suatu sidang media kelak.

Di Instagram pula, Elly ada berkongsi beberapa foto sepanjang majlis merisik sambil disusuli dengan hashtag #MajlisMerisik dan #MerisikCintaAzlanElly.

Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat memuji selain mendoakan agar pasangan ini cepat-cepat mendirikan rumah tangga.

Sebelum ini, Elly pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah Azmi Hatta dan dikurniakan cahaya mata, Putri Sara Sefhia Azmi sebelum bergelar ibu tunggal selama tiga tahun.

IKLAN