
Selepas usaha menyerahkan afidavit tuntutan hutang nafkah tiga anaknya kepada bekas suami, Adzmin Osman gagal, pengacara Raja Azura mengambil langkah untuk menyiarkan iklan pencarian di akhbar.
Menurut Raja Azura, mahkamah sudah mengeluarkan perintah kepada bekas suaminya itu untuk hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 3 Disember ini.

“Peguam saya memaklumkan, mahkahmah sudah pun mengeluarkan perintah kepada pihak respondan iaitu bekas suami saya untuk hadir ke mahkamah pada 3 Disember ini.
“Ini kerana penyerahan afidavit pertama saya tidak mendapat respon daripada bekas suami. Kemudian saya teruskan dengan prosedur penyampaian ganti.
“Mahkamah meminta saya supaya membeli ruangan iklan di akhbar untuk mencari Adzmin Osman agar dia sendiri perlu hadir ke mahkamah. Jadi, saya tak perlu lagi mencari dia.
“Disebabkan dia tak respon dan turunkan tanda tangan, dia diarahkan untuk hadir ke mahkamah untuk memberikan penjelasan tentang hutang nafkah pada anak-anak,” katanya kepada MH.
Raja Azura berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) di Menara Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada majlis sama, bekas hos Melodi ini juga turut diumumkan sebagai hos ABP37 dan bakal bergandingan bersama Shiha Zikir.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini berharap agar bekas suaminya tampil memberikan kerjasama dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Iklan tersebut sudah pun diterbitkan di akhbar hari ini. Jadi, barulah saya boleh bercakap hal ini kepada umum. Saya harap Encik Adzmin datanglah ke mahkamah.
“Selesaikanlah apa yang patut. Jika kita dapat selesai secara baik, itu lagi bagus. Kalau kita diam dan biarkan sahaja, kisah ini akan jadi lebih panjang. Apapun, tidak akan selesai.
“Jadi, dia kena buat pengakuan dahulu kepada pihak mahkamah bahawa dia berhutang dengan saya. Kemudian, barulah kita ke peringkat seterusnya,” katanya lagi.
Tolak Dakwaan Terdesak, Tapi…
Dalam masa sama, Raja Azura menolak dakwaan kononnya dia kini terdesak sehingga terpaksa menuntut nafkah selepas hampir 15 tahun bercerai.

“Ada yang kata saya ini seperti sudah terdesak. Kenapa selepas 15 tahun baru nak tuntut soal nafkah? Bila saya nak tuntut, itu suka hati sayalah. Dalam hidup ini, kita akan lalui kisah kita sendiri.
“Bagaimana nak mengatasi pengalaman lampau, saya ada cara saya sendiri. Kenapa saya tidak bertindak awal? Sebab saya sayang anak-anak saya.
“Saya tak nak mental dan fizikal anak-anak saya terganggu. Kalau orang lain nak heret anak mereka ke mahkamah, itu hak mereka. Cara dan fokus saya selepas berpisah adalah untuk besarkan anak dahulu.
“Saya yakin pada Allah SWT. Rezeki tak pernah salah alamat. Saya jaga anak-anak dengan baik,” jelasnya.
Menurut Raj Azura lagi, dia sudah berjanji dalam diri untuk menuntut hak anak-anak setelah mereka dewasa dan mencapai kejayaan.

“Saya memang sudah berjanji dalam diri. Selepas berpisah, saya ada menunaikan umrah. Ketika tawaf terakhir, saya mohon kepada Allah untuk gugurkan segala kesedihan saya di sini.
“Saya nak pulang dalam keadaan satu dunia yang baharu. Saya nak jaga anak-anak sehingga mereka berjaya. Barulah saya akan tuntut hak yang sepatutnya anak-anak saya dapat.
“Bila anak-anak sudah besar dan berjaya genggam ijazah, mereka sendiri yang bagitahu saya, sudah sampai waktunya untuk saya tuntut.
“Sekurang-kurangnya apabila saya mati dan disoal nanti, saya boleh jawab yang saya sudah menuntut hak yang sepatutnya. Dia yang tidak mahu bertindak,” katanya.
Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin, anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada tahun 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, Megat Luqman Hakim Adzmin, dan Puteri Mia Maizura Adzmin.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




