Categories: Berita Hiburan

“Macam Tak Percaya, Ingatkan Mimpi,” – Atikah Suhaime

Share

Pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh dengan sekali lafaz sekitar pukul 8.45 malam, pada Ahad.

Atikah atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd. Suhaime, 33, dinikahkan bapanya, Mohd. Suhaime.

Di dalam majlis yang disambut sederhana tetapi meriah itu, Atikah menerima mas kahwin sebanyak RM300 namun wang hantaran dirahsiakan.

Difahamkan, majlis pernikahan Atikah bersama Lokman yang juga Pengarah Eksekutif produk Zaitun itu diadakan secara tertutup di sebuah lokasi di ibu negara dengan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat serta teman rapat.

Dalam majlis pernikahan berkenaan, pengantin lelaki membawa tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pengantin perempuan.

Sementara itu, menerusi perkongsian terbaharu daripada Atikah di Instagram, bintang My Stupid Boss itu menitipkan perasaan teruja dan terharu.

“Macam tak percaya, ingatkan mimpi,” tulisnya ringkas menerusi ruangan kapsyen.

Foto yang dirakam bersama suami tersayang pantas menjadi perhatian warganet disusuli dengan pelbagai ucapan tahniah dan doa yang baik-baik.

Terdahulu pada Disember lalu, Atikah berkongsi berita gembira mengenai hari bahagianya yang bakal menjelang di media sosial selepas memuat naik video majlis pertunangan yang berlangsung secara ringkas di Singapura.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber: Instagram Atikah Suhaime, Photosikel

IKLAN