
Aktres popular Hollywood, Lindsay Lohan membuktikan bahawa beliau masih relevan dalam dunia seni apabila kembali menghiasi layar perak menerusi filem terbaharu berjudul Freakier Friday, sekuel kepada filem kultus Freaky Friday (2003) yang menyatukan semula beliau dengan aktres veteran terkenal, Jamie Lee Curtis.
Penampilan Lohan, 39, pada malam tayangan perdana filem itu baru-baru ini di Teater El Capitan, Los Angeles mencuri tumpuan ramai apabila beliau tampil anggun dalam persalinan pastel jenama Miu Miu, lengkap dengan gaya rambut ikal yang menonjolkan aura kematangan dan kemewahan.
Menambah lagi elemen nostalgia, majlis tersebut turut menyaksikan pertemuan semula pelakon-pelakon filem The Parent Trap (1998), iaitu Lisa Ann Walter dan Elaine Hendrix, sekali gus mengubat rindu para peminat yang mengikuti perjalanan seni Lohan sejak awal kerjayanya.
Filem Freakier Friday yang dijadualkan ditayangkan bermula 8 Ogos ini mengangkat naratif baharu yang melibatkan pertukaran tubuh antara tiga generasi wanita bukan sahaja antara Anna (lakonan Lindsay) dan ibunya Tess (Jamie Lee Curtis), malah turut melibatkan watak anak Anna dan anak tirinya.

BACA JUGA: Lindsay Lohan Timang Cahaya Mata Sulung, Beri Nama Dalam Bahasa Arab
Menurut laporan portal hiburan People, hubungan baik antara Lohan dan Curtis yang terjalin sejak penggambaran filem pertama dahulu kekal utuh. Curtis turut memuji etika kerja dan kematangan Lohan sepanjang produksi berlangsung, malah menyifatkan Lindsay sebagai anak seni yang sentiasa dahagakan pembaharuan.
Sebelum ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu telah mencuri perhatian dunia apabila menandatangani kontrak eksklusif bersama Netflix pada 2022, sekali gus membintangi beberapa filem termasuk Falling for Christmas (2022), Irish Wish (2024) dan Our Little Secret (2024).
Kembalinya Lohan dalam filem Freakier Friday bukan sahaja menandakan kebangkitan semula kerjaya lakonannya, malah turut memperlihatkan transformasi peribadi beliau yang kini lebih stabil dan fokus dalam meniti arus seni yang sentiasa berubah.
Dengan sambutan awal yang positif dan aura nostalgia yang kuat, Freakier Friday dijangka menjadi antara naskhah paling dinantikan tahun ini. Peminat tempatan boleh menjangkakan tayangan filem ini di pawagam Malaysia seawal 7 Ogos depan.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




