
Dunia seni hiburan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila ikon layar perak, Brigitte Bardot, meninggal dunia pada usia 91 tahun, hari ini.
Pemergian figura ikonik itu disahkan oleh Brigitte Bardot Foundation, yayasan yang diasaskannya, yang memaklumkan bahawa pelakon, penyanyi dan aktivis hak haiwan tersebut menghembuskan nafas terakhir dengan tenang.
Walaupun begitu punca kematiannya belum dan tarikh upacara pengebumian belum didedahkan kepada umum. Menurut laporan, beliau telah dimasukkan ke hospital sejak bulan lalu.
Brigitte Bardot mula mencipta nama di persada dunia menerusi filem And God Created Woman (1956), karya arahan Roger Vadim yang bukan sahaja melonjakkan popularitinya, malah menjadikannya simbol kebebasan wanita dan ikon sensual era 1950-an serta 1960-an.
Sejak itu, Bardot membintangi lebih 40 filem dan merakamkan pelbagai karya muzik sepanjang karier seninya.
Keunikan persona dan gaya hidupnya menjadikan Bardot antara bintang Eropah terawal yang mendapat pengaruh global, setaraf bintang Hollywood, sekali gus mengubah wajah sinema Perancis kepada bentuk yang lebih berani dan ekspresif.
Pada awal 1970-an, Bardot membuat keputusan mengejutkan apabila bersara awal daripada dunia lakonan dan menumpukan sepenuhnya kehidupannya kepada aktivisme hak haiwan.

Usaha itu diperkukuhkan menerusi penubuhan Brigitte Bardot Foundation pada 1986 yang sehingga kini aktif memperjuangkan kebajikan haiwan di peringkat antarabangsa.
Pemergian Bardot turut mengundang reaksi dan ucapan takziah daripada pelbagai pihak. Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyifatkan Bardot sebagai figura luar biasa yang meninggalkan kesan mendalam terhadap budaya dan seni Perancis.
Selain itu, bekas presiden Perancis termasuk Nicolas Sarkozy dan François Hollande turut menyuarakan rasa dukacita atas pemergian Bardot, sambil mengakui pengaruh besar beliau dalam membentuk identiti budaya Perancis di mata dunia.
Walaupun kehidupannya pernah dibayangi kontroversi susulan kenyataan peribadi berkaitan isu sosial dan politik, sumbangan serta legasi Brigitte Bardot dalam dunia seni dan perjuangan hak haiwan tetap diakui.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




