Uncategorized

Langkasuka Bolot Tiga Trofi, ‘Baju Yang Baru’ Dinobat Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2025… Rezeki Tunai Keseluruhan RM25,000!

Share

Kumpulan Langkasuka muncul sebagai pemenang terbesar pada Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2025 apabila berjaya merangkul tiga trofi menerusi karya Baju Yang Baru, ciptaan dan lirik Zuhaili.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Langkasuka dinobatkan sebagai pemenang Lagu Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Lebih membanggakan, lagu sama turut memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Terbaik, sekali gus menjadikan jumlah kemenangan Langkasuka kepada tiga trofi dengan hadiah wang tunai keseluruhan RM25,000.

Penganjuran edisi keenam ALI2025 itu menghimpunkan 15 finalis terbaik yang dipilih daripada keseluruhan 590 penyertaan diterima, sekali gus mencerminkan perkembangan positif landskap muzik indie tempatan.

Sementara itu, kategori Lagu Rock Terbaik dimenangi Sethpoll menerusi karya Gelandangan Mewah, manakala Lagu Hip Hop Terbaik menjadi milik Wrga menerusi GKG (Gomo Kelate Gomo).

Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bagi kategori masing-masing.

Secara keseluruhannya, lima kategori yang dipertandingkan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM36,000, merangkumi Lagu Terbaik (RM15,000), Lagu Pop Terbaik (RM5,000), Lagu Rock Terbaik (RM5,000), Lagu Hip Hop Terbaik (RM5,000) dan Persembahan Terbaik (RM5,000).

Persaingan Sengit, Penilaian Profesional

Pentas Akhir ALI2025 berlangsung di Proscenium Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square Mall, menyaksikan persaingan sengit membabitkan 15 karya terbaik dalam tiga kategori utama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop.

Barisan juri profesional yang mengadili pertandingan terdiri daripada AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Melina William, Luca Sickta, Prof Madya Dr Muhammad Sayyid Shafiee, Roshan Jamrock dan Wing Meng.

Daripada 590 penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup penyertaan pada 31 Mac 2026, sebanyak 90 karya dipilih ke peringkat seterusnya sebelum undian awam menentukan 15 finalis yang beraksi di pentas akhir.

Pemilihan pemenang pula dibuat berdasarkan gabungan 70 peratus markah panel juri profesional dan 30 peratus undian awam dalam talian dengan aspek seperti gubahan, lirik serta keaslian karya menjadi antara kriteria utama penilaian.

Penganjuran ALI2025 turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Rakan Muda (Rakan Muzik Presents) yang kekal sebagai penyokong utama program.

Baca Artikel Lain; 

https://www.mediahiburan.my/astro-serikan-kancil-awards-dengan-pesona-bintang-inspirasi-tenaga-kreatif-2/

Senarai Pemenang ALI2025

  • Lagu Terbaik: Baju Yang Baru – Langkasuka
  • Lagu Pop Terbaik: Baju Yang Baru – Langkasuka
  • Lagu Rock Terbaik: Gelandangan Mewah – Sethpoll
  • Lagu Hip Hop Terbaik: GKG (Gomo Kelate Gomo) – Wrga
  • Persembahan Terbaik: Baju Yang Baru – Langkasuka

Kesemua pemenang berkongsi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM36,000 selain menerima pengiktirafan sebagai antara pengkarya dan karya terbaik dalam landskap muzik indie tempatan.

Penganjuran ALI2025 sekali lagi membuktikan bahawa muzik indie tempatan mempunyai ruang yang luas untuk terus berkembang menerusi kemunculan karya-karya baharu yang hadir dengan identiti, keberanian dan perspektif tersendiri.

Program itu juga diharapkan terus menjadi platform penting dalam memberi pengiktirafan kepada pengkarya muzik indie, di samping membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk diketengahkan kepada khalayak yang lebih luas.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH