Categories: Berita Hiburan

Laila Nasir Sebak Sambut Menantu Sulung, Air Mata Gembira Iringi Hari Bahagia Anak Sulung – “Kalau Arwah Suami Masih Ada…”

Share

Dramatis Laila Nasir tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan terharu apabila selamat menerima menantu sulungnya pada 6 Jun lalu menerusi sebuah majlis tertutup yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota.

Putera sulungnya, Badrul Mukhriz Yeop Abdullah, 31,  memilih Natilia Fazdina Khaizatul Fairuz sebagai suri hati untuk bersama-sama melayari alam rumah tangga.

Pasangan yang masing-masing bekerja dalam bidang pentadbiran itu turut diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung pada 20 Jun lalu di sebuah premis acara di Puchong.

Laila atau nama sebenarnya Norlaila Nasir, 55, mengakui perasaannya bercampur baur apabila buat pertama kali menerima menantu, apatah lagi selepas membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal.

Sebak Lepaskan Anak Sulung Ke Alam Perkahwinan

“Perasaan sedih melepaskan anak sulung ke pangkuan wanita yang kini bergelar isterinya turut bercampur baur diiringi dengan tangisan kegembiraan.

“Kalau suami saya masih hidup lagi, tentu dia juga akan menjadi insan yang paling gembira di muka bumi ini melihat anak kami ke jenjang pelamin.

“Tentunya, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat sedari dulu bahawa anak yang ditatang bagai minyak yang penuh ini akan bergelar suami orang dan memikul tanggungjawab lain,” kata wanita kelahiran Machang, Kelantan itu.

Tambah Laila lagi, melepaskan anak untuk membina kehidupan sendiri bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh seorang ibu, lebih-lebih lagi apabila ia merupakan pengalaman pertama buat dirinya.

“Ironinya, ia mengambil masa bagi golongan ibu seperti saya yang kali pertama melalui fasa ini. Tambahan pula, saya bergelar ibu tunggal.

“Tidak mudah untuk membesarkan dua anak serta menguruskan semuanya sendiri. Namun dengan sokongan ibu serta adik-beradik saya yang lain, semuanya dilihat lancar. Malah persiapan perkahwinan ini pun turut dibantu adik-beradik lain.

“Apapun, yang lebih utama ialah semoga ikatan yang dibina ini akan bahagia sampai ke syurga,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama di Lenggong, Perak baru-baru ini.

Baca Artikel Lain; 

https://www.mediahiburan.my/laila-nasir-kuat-positif-besarkan-2-anak-lelaki-sejak-kematian-suami-8-tahun-lalu-menjadi-ibu-tunggal-sekelip-mata-merubah-segalanya/

Doa Buat Anak & Menantu

Laila yang sinonim menerusi watak Mona dalam drama bersiri Nur itu turut menitipkan doa agar rumah tangga yang dibina anak dan menantunya sentiasa dilimpahi kebahagiaan serta keberkatan.

“Hidup berumahtangga ini banyak ragamnya. Namun, apa yang utama kedua mereka kenalah menjaga keharmonian dan sering bertiolak ansur.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia biasa,” kata bintang filem Bayangan Maut dan Harry Boy itu.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat serta sahabat handai, manakala berita gembira itu turut dikongsi menerusi media sosial oleh rakan-rakan selebriti.

Sementara itu, majlis bertandang pasangan tersebut dijadual berlangsung pada 27 Jun ini di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH