
Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme, sebuah lagu baharu berjudul Kita Warga Malaysia dilancarkan bersempena dengan bulan kemedekaan negara.
Lagu patriotik itu membawa mesej bahawa tanpa mengira kaum, agama, usia mahupun latar belakang, setiap rakyat berkongsi satu identiti dan satu tanah air yang sama, kita semua ialah warga Malaysia.
Seiring pelancaran lagu berkenaan, VYBE turut diumumkan sebagai Rakan Platform Digital Rasmi bagi inisiatif Kita Warga Malaysia.
Melalui kerjasama tersebut, VYBE akan membantu memperluaskan penyampaian mesej patriotisme dan perpaduan kepada masyarakat, khususnya generasi muda serta komuniti pencipta kandungan digital.
Lagu ciptaan Dr. Lee Tuck Wah itu turut mendapat sokongan Lomo Pictures Sdn. Bhd. sebagai rakan kerjasama strategik dalam menjayakan pembikinan video muzik serta pelancaran rasmi lagu berkenaan.
Baca Artikel Lain;
Pengerusi VYBE, Datuk Kamil Othman berkata, muzik dan penceritaan mempunyai keupayaan untuk menyatukan masyarakat merentasi pelbagai latar belakang.
“Muzik dan penceritaan mempunyai keupayaan untuk merentasi batas generasi dan memperkasakan, kaum dan geografi. ‘Kita Warga Malaysia’ bukan sekadar sebuah lagu patriotik, malah mencerminkan identiti bersama kita sebagai rakyat Malaysia.
“Walau apa pun latar belakang kita, negara ini ialah rumah kita dan masa depannya merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.
Datuk Kamil merupakan antara tokoh yang telah lama menyumbang kepada pembangunan industri perfileman, kandungan digital dan ekonomi kreatif negara.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Strategi dan Dasar Industri Kreatif di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), selain pernah menyandang jawatan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebelum dilantik sebagai Pengerusi FINAS pada tahun 2023.
Sementara itu, Pengasas VYBE, Pengasas dan Pengerusi Zocco Group Sdn. Bhd. (Malaysia), serta Pengerusi International Chinese Foundation (ICF), Dr. Kervis, menyifatkan penglibatan VYBE dalam inisiatif tersebut sebagai satu penghormatan dan peluang untuk menyumbang kepada penyampaian mesej perpaduan negara.
Beliau turut dikenali sebagai pelopor utama AI MCN di Malaysia dan antara tokoh yang aktif memperkenalkan serta mempromosikan integrasi kecerdasan buatan dalam industri MCN, ekonomi pencipta, penstriman langsung dan kandungan digital.
“Bagi saya, kemerdekaan bukan sekadar meraikan apa yang telah dicapai oleh generasi terdahulu. Kemerdekaan juga bermakna memastikan generasi seterusnya mempunyai ruang, keyakinan dan peluang untuk membina masa depan mereka sendiri.
“Saya amat berbesar hati kerana VYBE dapat turut serta dalam inisiatif ‘Kita Warga Malaysia’. Sebagai seorang yang aktif mempromosikan pembangunan AI MCN, saya percaya bahawa teknologi hanya benar-benar bernilai apabila ia mampu memperkasakan manusia, membuka peluang dan membawa manfaat kepada masyarakat.
“Melalui kreativiti dan teknologi, kita mahu memperkasakan bakat tempatan, membawa cerita Malaysia ke pentas yang lebih luas dan membuktikan bahawa suara Malaysia mampu mencipta nilai di peringkat antarabangsa.
“Inilah cara kita mengisi erti kemerdekaan, dengan membina sesuatu yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang,” kata Dr. Kervis.
Pelancaran rasmi aplikasi VYBE dijadualkan berlangsung pada 16 September 2026 deoan bersempena sambutan Hari Malaysia.
VYBE optimis menyediakan sebuah ruang digital yang menghubungkan pencipta kandungan, penggiat seni, jenama dan masyarakat, di samping membantu lebih banyak suara, karya dan cerita dari Malaysia diketengahkan kepada khalayak yang lebih luas.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.