
Pengarah prolifik Bollywood, Karan Johar, mendedahkan barisan pelakon generasi baharu yang menjadi pilihannya sekiranya filem ikonik Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) diterbitkan semula pada era kini.
Pendedahan tersebut sekali gus menamatkan spekulasi peminat yang sebelum ini mengaitkan nama-nama besar seperti Ranbir Kapoor, Deepika Padukone dan Kiara Advani sebagai calon utama.
Menurut laporan media India, Johar memilih tiga wajah popular generasi muda sebagai pengganti kepada watak asal Rahul, Anjali dan Tina yang sebelum ini dilakonkan Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukerji.

Dalam kenyataan terbaharu, beliau menyifatkan Alia Bhatt sebagai pilihan tepat untuk menggalas watak Anjali, manakala Ranveer Singh dianggap memiliki karisma dan tenaga setanding Shah Rukh Khan bagi membawa watak Rahul sekiranya filem legenda itu dihasilkan semula.
Sementara itu, bagi watak Tina yang sinonim dengan keayuan dan gaya tersendiri, Karan menyenaraikan nama Ananya Panday sebagai calon yang paling hampir memenuhi karakter berkenaan.


BACA JUGA: 10 Trivia Kuch Kuch Hota Hai, Antara Filem Blockbuster Bollywood Paling Melekat Di Hati
Beliau turut menyebut bahawa Janhvi Kapoor dan Sara Ali Khan juga berpotensi menghidupkan watak tersebut berdasarkan populariti dan kemampuan lakonan mereka dalam filem-filem terkini.
Pengarah berusia 52 tahun itu menegaskan bahawa pemilihan pelakon bagi versi baharu filem tersebut mestilah menggambarkan wajah Bollywood masa kini yang lebih segar, dinamik dan dekat dengan generasi penonton baharu.

Katanya, Kuch Kuch Hota Hai kekal sebagai karya paling ikonik dalam kariernya, dan sekiranya diberi peluang menghasilkan semula filem tersebut, pemilihan pelakon menjadi faktor paling penting bagi mengekalkan roh klasik filem berkenaan sambil disesuaikan dengan cita rasa moden.
Filem Kuch Kuch Hota Hai yang diterbitkan pada 1998 bukan sahaja mencipta fenomena di India dan seluruh dunia, malah turut mengangkat watak Rahul, Anjali dan Tina sebagai antara trio paling berpengaruh dalam sejarah filem Hindi.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




