Konsert Pemilihan Mentor 7: Perkenal Konsep ‘Curi’, Aizat Amdan Pilih Busker & Protoge Datuk Syafinaz Punyai Kualiti

Share

Pertandingan nyanyian yang mengetengahkan bakat baru, Mentor 7 secara rasmi membuka tirainya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada Ahad.

Bagaimanapun, seperti kebiasaan, konsert pemilihan protoge Mentor 7 akan dijalankan terlebih dahulu selama dua minggu.

Semalam, menyaksikan penyanyi, Aizat dan guru vokal, Datuk Syafinaz membuka gelanggang Mentor 7 dengan masing-masing mempertaruhkan tiga peserta yang bakal mengisi dua slot sebagai protoge.

Percaturan Aizat dilihat sedikit menarik apabila ketiga-tiga bakal protogenya itu merupakan dikalangan penyanyi jalanan (busker).

Lalu, penyanyi lagu Sampai Ke Hari Tua itu memutuskan untuk memilih Pasha, 24 dan Megat, 25 sebagai protogenya dengan mengetepikan seorang lagi peserta, Faris walaupun mendapat undian tertinggi daripada orang ramai.

Manakala, Datuk Syafinaz pula terpaksa membuat pilihan sukar apabila kesemua bakal protogenya dilihat memiliki kualiti sebagai seorang penghibur yang bagus.

Datuk Syafinaz akhirnya memilih Lazarul, 28 yang merupakan seorang peniaga air mangga dan Ranisha, 18 yang juga merupakan juara Idola Kecil 2012.

Namun, apa yang menarik mengenai Mentor 7 tahun ini, para mentor dibenarkan untuk ‘mencuri’ peserta yang tidak dipilih oleh mentor lain sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kualiti protoge yang mereka miliki ketika ini.

Mentor 7 diterajui oleh gandingan pengacara Shuk Sahar dan Nana Mahazan manakala Sarancak mengendalikan segmen di belakang pentas.

Konsert pemilihan bahagian kedua akan diteruskan pada minggu hadapan yang menyaksikan dua lagi mentor Siti Nurdiana dan Hafiz Suip akan memilih dua perserta terbaik untuk menjadi protoge mereka.

Foto:Instagram TV3

IKLAN