Berita

“Kita Tulis Melodi Guna Ilham, Rezeki Yang Diturunkan…,” – Lagu AI Tak Layak Masuk Bertanding? Aepul Roza Tak Gentar Dengan ‘Geng Prompter’

Share

Penyanyi dan komposer, Aepul Roza berpendapat lagu yang dihasilkan menerusi janaan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan muzik.

Menurut Aepul atau nama sebenarnya Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, meskipun lagu ciptaan AI mampu menarik perhatian pendengar, karya seumpama itu tidak layak dinilai setaraf dengan hasil ciptaan penulis lagu sebenar.

“Kalau orang itu tahu dia buat lagu guna mesin dan sekadar ‘prompt’, janganlah hantar bertanding. Kenapa ya mereka buat begitu? Cukuplah sekadar dinikmati manusia lain.

“Janganlah hantar bertanding untuk dihargai sebagai penulis,” katanya kepada MH.

AI Untuk Hiburan Tidak Salah

Bagaimanapun, Aepul tidak menganggap penggunaan AI bagi tujuan menghasilkan lagu atau hiburan sebagai sesuatu yang salah.

Sebaliknya, beliau berpandangan teknologi sentiasa berkembang dan masyarakat perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Kalau buat sekadar hiburan, tak mengapa. Lagu-lagu AI ini sudah jadi seperti mana kita menggunakan media sosial. Jika dahulu orang nak sunting gambar menjadi cantik dan muat naik di Instagram, mereka perlu gunakan aplikasi Photoshop.

“Kini, segalanya boleh disunting terus di Instagram sahaja. Sama juga seperti lagu. Cuma yang membezakannya adalah pengkarya seni ada cara kerja mereka tersendiri.

“Orang awam pula akan guna ikut kemampuan mereka. Ini adalah teknologi dan kita kena beradaptasi,” ujarnya lagi.

Melodi Asli Tak Mampu Diganti Komputer

Dalam masa sama, Aepul yakin kemampuan manusia menghasilkan melodi secara asli tidak akan dapat digantikan oleh teknologi.

Jelasnya, melodi yang lahir daripada ilham dan kreativiti pengkarya mempunyai nilai tersendiri berbanding karya yang dijana komputer.

“Cuma saya masih yakin, tiada siapa yang boleh rampas pembuat melodi. Kita menulis melodi daripada ilham dan rezeki yang Allah turunkan.

“Saya tak tercabar dengan geng-geng prompter ini. Mereka bukan pembuat melodi. Pembuat melodi mereka adalah komputer,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, vokalis Drama Band itu turut berpandangan bahawa barisan juri perlu memiliki ilmu dan kepakaran untuk mengenal pasti sama ada sesebuah lagu dihasilkan menggunakan AI atau sebaliknya.

“Sebagai komposer yang sudah mengkaji perisian AI, kita boleh faham ‘vocabulary’ yang dihasilkan. Dengar sekali pun sudah tahu ‘bau-bau’ AI. Sebab itu juri atau pihak penapis peribadi perlu ada ilmu ini supaya tidak terlepas lagu AI dalam pertandingan.

“Mana-mana juri perlu ada ilmu untuk kenal pasti sama ada lagu itu sebenarnya AI ataupun tidak. Perkara ini penting agar tidak terlepas masuk dalam radar pertandingan,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Kredit Foto: Instagram Aepul Roza

Published by
Aizam Manaf