
Pelakon Beto Kusyairy berharap orang ramai dapat lebih menghargai karya dan usaha para penggiat filem tempatan dengan menonton naskhah di pawagam berbanding di platform OTT (Over The Top).
Menurutnya, setiap karya dihasilkan dengan teliti khusus untuk tayangan di layar perak, terutamanya dari aspek visual dan bunyi bagi memberikan kepuasan maksimum kepada penonton.

“Kalau kita nak bercakap tentang perbandingan diantara panggung wayang dan platform OTT, saya tak boleh nak ulas lebih kerana ia memang sudah menjadi budaya pada zaman sekarang.
“Ketika ini, semua orang boleh menonton menerusi skrin di tapak tangan sahaja. Namun, dari sudut pembikinan filem, ia merupakan satu perkara yang kita rasa tidak seronok.
“Ini kerana kita mengeluarkan modal yang sangat besar dan memang membikinnya untuk layar lebar. Bunyi-bunyiannya juga memang khas untuk layar lebar.
“Jadi, kenapa harus menonton di tapak tangan sedangkan kita membikin sebuah karya itu untuk kepuasan di layar lebar?,” katanya kepada MH.
Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) itu ditemui di set penggambaran drama Good Boys Go To Heaven di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Fahami Kekangan Penonton
Walaupun menegaskan kepentingan menonton di pawagam, Beto tetap memahami realiti yang dihadapi sesetengah peminat filem yang mungkin terbatas dari segi masa dan kos.

“Namun, saya juga faham kekangan dari segi masa dan lambakan filem-filem tempatan yang keluar dalam jarak masa yang agak dekat. Ada filem yang ditayangkan selang seminggu.
“Harga tiket juga agak mahal. Kalau kita menonton untuk dua orang, paling tidak RM100 tak lari. Itu termasuk bajet makan minum dan parking.
“Saya ambil peduli dari sudut itu juga. Saya tak boleh nak salahkan penonton juga. Jadi, hal-hal seperti ini turut memberi kesan juga,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Beto akui teruja dengan reaksi positif terhadap filem lakonannya, Gayong, yang kini ditayangkan di aplikasi Netflix.

“Saya tetap menghargai respon-respon yang baik mahupun tidak. Mereka juga mengharapkan agar ada sambungan untuk filem ini.
“Semoga dengan tontonan di Netflix ini akan menghadirkan minat untuk mereka hadir ke panggung untuk menontonnya nanti,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, istilah ‘Bangsa Netflix’ sering diperkatakan berikutan kecenderungan sesetengah penonton menunggu tayangan OTT berbanding hadir ke pawagam, sekali gus mencetuskan dilema dalam ekosistem filem tempatan.
Terdahulu, Good Boys Go To Heaven merupakan drama terbitan Astro Originals arahan Ariff Zulkarnain.

Karya tulisan Mira Mustaffa ini mengetengahkan realiti isu kesihatan mental serta gangguan seksual dalam kalangan lelaki yang jarang dibincangkan.
Selain Beto, drama ini dibintangi Zahirah Macwilson, Amerul Affendi, Malek Mccrone dan Mila Mohsin.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




