Percaturan Rozita Che Wan atau Che Ta kembali aktif berlakon tahun ini dianggap tepat pada masanya, apabila watak antagonis Kak Ju (Juriah) lakonannya menerusi drama Bahagia Yang Tertangguh mula menjadi bualan.
Rozita sebelum ini memberi fokus kepada perniagaan sehingga terpaksa menyepi daripada dunia lakonan hampir tiga tahun.
Menurut Che Ta, watak Kak Ju mencetuskan pelbagai reaksi emosional dalam kalangan peminat yang mengikuti drama terbitan iFabulous Art Media & Event Sdn. Bhd (iFame) untuk siaran Astro Ria itu.
“Penangan karakter Kak Ju itu umpama mengembalikan ingatan dan kenangan saya saat melakonkan watak Kiah Pekasam suatu ketika dahulu.
“Cuma bezanya inilah kali pertama saya berlakon watak antagonis. Jujur tak sangka watak itu semakin berbekas di hati penonton.
“Sejak siaran episod awal lagi, bayangkan sudah berbakul-bakul komen dan kecaman penonton serta netizen saya terima. Siap pakej makian minta Kak Ju ditidurkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tak kurang juga yang komen minta watak Kak Ju dimatikan segera. Ada juga yang komen dan cakap berdepan bila jumpa saya dengan nada sinis nak ‘pijak’ Kak Ju,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menambah, dia bagaimanapun tidak melihat kecaman terhadap watak tersebut sebagai ancaman.
“Dari sudut lain, saya percaya apabila watak itu meninggalkan kesan di hati penonton tak kira dari sudut positif atau negatif, bererti diri ini sudah cuba memberikan sehabis baik dalam menghidupkan watak Kak Ju. Syukur lakonan saya diterima dan beri impak.
“Komen dan kecaman sebegitu kalau difikirkan buat saya rasa nak gelak sebab geram punya fasal, mereka (penonton) sampai nak itu ini dengan Kak Ju,” katanya lagi.
Ads
Tuah Karya Osman Ali
Dalam masa sama, Rozita turut berterima kasih kepada produksi, stesen TV dan pengarah atas kepercayaan diberikan.
“Mereka berani cabar saya dengan watak sebegini dan keluar dari kepompong kebiasaan. Ikutkan saya seperti orang tahu, memang lantang bersuara.
“Saya dengan anak pun jenis tegas. Cuma mungkin sebelum ini tak ada produksi berani buka peluang serta mencabar saya bawa watak jahat.
“Sampai anak saya berseloroh cakap watak Kak Ju itu seperti diri sendiri. Tapi saya di rumah tidaklah sekejam Kak Ju.
Ads
“Malah kawan anak saya di Jerman yang menonton drama ini dalam talian pun terkejut dengan lakonan berkenaan yang sangat garang, ‘laser’ dan cakap lepas,” katanya.
Rozita yang bakal muncul menerusi filem terbaharu,Anak Mami Jarum Dalca Cinta Kerabu arahan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen turut berpendapat, watak antagonis sebenarnya lebih mudah dilakonkan.
“Watak jahat macam ini tak perlu nak ‘control’. Lepaskan saja apa yang mahu diluahkan. Kalau watak baik pula kita kena banyak kawal dan bermain rasa serta emosi.
“Cuma selepas drama ini, sebolehnya saya tolak dulu watak antagonis kalau ditawarkan. Bukan tak nak lagi jadi jahat, tapi mungkin saya letakkan jurang atau tempoh masa,” tambahnya.
Dia juga terharu apabila dapat berlakon buat kali pertama di bawah arahan Osman Ali.
Ads
“Selama ini saya dengar saja cerita mengenai karya arahannya. Kali ini, dapat merasai ‘air tangan’ dia sebagai pengarah.
“Cuma selepas sekian lama tak berlakon depan kamera dan saat awal tempoh masuk set penggambaran drama ini, saya dan hampir kebanyakan pelakon terbabit kena ‘tegur’ dengannya.
“Biasalah, belum ‘panas’ lagi. Jadi apabila tak sampai tahap kepuasannya sebagai pengarah, dia akan terus cabar dan minta saya keluarkan lagi sisi ‘jahat’ Kak Ju.
“Semua itu saya anggap cabaran dan proses mewarnakan lagi karakter. Lama kelamaan sudah masuk ‘roh’ Kak Ju.
“Sisi lain, saya kagum dan harus memujinya. Dia jenis pengarah yang nak kita nampak ‘cantik’ di skrin. Dia sangat komited dan bagus dalam menjaga perkembangan karakter pelakon dari bintang utama sampailah ‘tambahan’,” katanya.
Malah Rozita turut menzahirkan rasa syukur terhadap penerimaan baik drama adaptasi novel karya Rissa Ahdiya itu.
Selain Che Ta, drama 28 episod itu turut menampilkan lakonan hebat Nad Zainal, Kamal Adli, Izzue Islam, Riz Amin dan Mimi Ernida.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Foto: Azim Wahab (Ihsan Rozita che wan)
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Selepas Pungky kehilangan ibu tercinta beberapa minggu lalu, kumpulan Mendua sekali lagi diuji apabila bapa kepada seorang lagi anggotanya, Diana pula meninggal dunia pada Khamis.
Pada konsert Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang berlangsung semalam, Mendua sekali lagi terpaksa membuat persembahan tanpa anggota lengkap berikutan ketiadaan Diana yang kini perlu berada di samping keluarga.
Menurut Sasha, situasi yang berlaku sememangnya amat berat untuk diterima kerana ia terjadi dalam jangka masa yang sangat singkat.
“Malam ini, kami berdua lagi seperti dua minggu yang lalu. Kini, saya pula perlu berganti pasangan. Saya sebenarnya sangat sedih. Perasaan saya sangat bingung.
“Nak menangis juga tiada waktu. Ini adalah hal yang kami sendiri tidak jangka akan berlaku. Saya jadi teringat semula apa yang berlaku dua minggu lalu.
“Pada waktu itu, pertanyaan daripada pihak media sama seperti hari ini. Jika, sebelum ini soalan itu ditujukan buat Pungky, hari ini, Diana pula.
“Saya rasa seperti anxiety. Saya berdoa kepada Tuhan, kita terima apa yang berlaku tapi cukuplah ujian ini. Yang pergi ini adalah ibu bapa dan bukan sekadar orang terdekat,” katanya kepada MH.
Kumpulan asal Indonesia itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas berakhir konsert minggu ke-5 GV12 yang di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Dalam masa sama, Pungky akui hal ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi dan mentalnya.
“Segalanya berlaku terlalu cepat dan hanya berselang dua minggu. Saya sendiri belum pulih sepenuhnya daripada perasaan kehilangan orang yang amat saya cintai.
“Tiba-tiba saya harus mendengar khabar seperti ini lagi daripada sahabat kami pula. Dia pula harus mengharungi kehilangan. Ini sangat susah dan berat buat kami,” katanya.
Meskipun tanpa kelibat Diana, Mendua tetap berjaya menampilkan persembahan terbaik sekali gus meneruskan momentum cemerlang untuk berada di kedudukan dua terbaik.
Jelas Sasha, meraih markah yang baik dan pujian daripada pihak juri sedikit sebanyak mengubati kesedihan mereka.
“Saya merasakan sudah menjadi tugas saya untuk saling menguatkan rakan-rakan yang sedang bersedih. Kami tidak boleh mundur dan harus maju meneruskan persembahan.
“Bila dapat markah yang baik, itu sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati kami. Dua minggu lalu, saya berkata kepada Diana, tanpa Pungky, kita tetap boleh melakukannya. Alhamdulillah, kami dapat antara markah tertinggi.
“Sekarang, saya pula harus bercakap perkara sama kepada Pungky. Saya bagitahu, kita okay dan segalanya pasti akan baik-baik sahaja,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Sasha juga percaya setiap ujian yang berlaku ini pasti ada hikmahnya.
“Semoga kami dapat menjadi contoh walau apapun yang berlaku, kita tetap harus bangkit.
“Kehilangan itu bukanlah sesuatu yang kita boleh halang tapi bagaimana cara kita menerima dan mensyukuri apa yang masih ada itu lebih penting.
“Semoga ada sesuatu yang indah sedang dipersiapkan buat kami. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya,” akhirinya.
Malam tadi, Mendua menduduki tempat kedua dengan markah sebanyak 67.25% di belakang Iskandar Ismail dengan 74.50%.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.
Menurut Mell atau nama sebenarnya Melly Matius, komen tersebut ditinggalkan oleh seorang individu yang merasakan tingkah lakunya di GV12 tidak bersesuaian dengan imejnya sebagai wanita berhijab.
“Insiden komen netizen itu baru sahaja berlaku. Mungkin juga sebab saya baru sahaja kembali muncul di kaca tv. Bila dapat komen sedemikian, saya agak terasa hati.
“Saya tak sangka ada orang yang sanggup meninggalkan komen sebegitu pada zaman ini. Mereka juga tidak sepatutnya menghakimi saya. Saya juga masih baru bergelar mualaf.
“Masih ada banyak lagi perkara yang perlu saya belajar. Bila dapat komen-komen sebegitu, ia lebih membuatkan saya rasa down dan keliru,” katanya kepada MH ketika ditemui selepas konsert minggu ke-5 GV12, baru-baru ini.
Kata penyanyi Polaroid itu lagi, komen tersebut masih bermain di fikirannya sehingga membuatkan dia mula menyalahkan diri sendiri.
“Bila dapat komen sebegitu, saya agak terkejut dan tersentak. Saya tertanya-tanya apa salah yang saya sudah buat. Awalnya saya hanya pendam sendiri. Saya jadi rasa bersalah. Betul ke apa yang mereka katakan itu?
“Namun, selepas beberapa hari, barulah saya kongsikan kepada orang-orang terdekat. Walaupun mereka suruh saya melihatnya seperti angin lalu sahaja, namun ia sangat memberikan kesan.
“Walaupun komennya pendek, kata-kata itu agak kasar,” kongsinya lagi.
Walaupun diuji dengan komen yang menyakitkan hati, Mell bersyukur kerana ada keluarga dan rakan-rakan terdekat yang terus memberi semangat untuk dia bangkit.
“Orang-orang yang menjadi penguat semangat saya adalah keluarga dan kawan-kawan terdekat. Mereka sentiasa beri sokongan dan nasihat untuk tidak mempedulukan komen-komen itu.
“Mereka juga beri sokongan moral dan ajar saya banyak perkara,” akhirinya.
Terdahulu, dalam tayangan VT sebelum persembahan di konsert minggu ke-5 GV12, Mell dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan mengenai komen individu yang menganggap dirinya sebagai menjijikkan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Astro terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju hiburan tanah air apabila menganjurkan pra-acara eksklusif ‘Hello Putrajaya’ sebagai pembuka tirai menuju Konsert Countdown KITA 2026.
Inisiatif ini dirangka khas untuk menghargai peminat setia sambil menghimpunkan barisan selebriti popular daripada pelbagai program hit Astro dalam sebuah konsert penuh energi dan interaksi langsung.
Acara ini dijangka mencuri tumpuan apabila puluhan selebriti turun bertemu peminat secara dekat. Ia juga menjadi medan memperkenalkan lebih awal barisan artis yang bakal menghangatkan pentas utama pada malam konsert hujung tahun itu nanti.
Hello Putrajaya bukan sekadar hiburan, tetapi ruang komuniti untuk peminat merasai sendiri nadi program-program yang mereka ikuti setiap minggu.
Antara nama besar yang bakal memeriahkan acara ini termasuk kumpulan Elite bersama kumpulan Mendua, Mark Adam, Nubhan, Iskandar Ismail dan Ruri Repvblik yang kini trending di Gegar Vaganza 12.
Kehadiran mereka sahaja sudah cukup menarik minat ramai yang tidak sabar menantikan persembahan hebat dengan lagu hit masing-masing dan sesi interaksi santai.
Turut tampil ialah Naqiu, Iaman dan Saputra daripada program The Chosen One XTRA, Mazleen yang baru sahaja dinobatkan sebagai Juara Kilauan Emas 2025 serta barisan peserta Talk To My Manager seperti Auddra, Sharifah Shahirah, Amad dan Siti Sairah yang sememangnya dikenali dengan personaliti masing-masing yang mencuit hati.
Tidak berhenti di situ, kumpulan ALPHA (Big Stage Alpha), Zuana (Raise The Star Malaysia), Alvin Chong dan Nicole Lai (Astro Star Quest) serta V-Haara (Attam) turut bakal menggegarkan pentas.
Gabungan selebriti merentas genre dan generasi ini menjadikan Hello Putrajaya antara pra-acara paling besar dan berimpak sebelum kemunculan tahun baharu.
Showcase ini juga mengetengahkan elemen penghargaan peminat, sebuah peluang untuk mereka berinteraksi, bergambar, menyaksikan persembahan eksklusif dan merasai sendiri kehangatan bakat-bakat Astro dalam suasana santai dan dekat.
Ia selaras dengan komitmen Astro untuk mengukuhkan hubungan bersama komuniti hiburan yang menjadi asas sokongan setiap musim.
Lebih istimewa, Astro turut bekerjasama dengan VIU bagi menghadirkan sesi meet & greet drama fenomena Satu, Dua… Dia?, eksklusif untuk pelanggan melalui Astro Rewards. Peluang ini memberi peminat drama popular itu ruang bertemu bintang utama dalam sesi yang pastinya penuh kemeriahan dan keterujaan.
Hello Putrajaya akan berlangsung Sabtu ini, 6 Disember 2025, jam 2.00 petang di Symphony East 3, Aras G, IOI City Mall Putrajaya, sebagai pemanas suasana menjelang Konsert Countdown KITA 2026.
Dengan barisan selebriti yang hebat, aktiviti yang disusun rapi dan sokongan peminat yang tidak pernah lekang, acara ini dijangka menjadi antara highlight hiburan paling meriah hujung tahun ini.
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.