Nama penyampai radio dan pengacara, DJ Sonic mungkin sinonim dengan gelak tawa, muzik ceria dan suara yang sentiasa memeriahkan konti radio.
Namun di sebalik perwatakan yang sering menghiburkan ramai, pemilik nama lengkap, Awang Suffian Awang Hussein ini pernah ‘tenggelam’ dalam satu fasa hitam dalam hidupnya isitu sewaktu pemergian ayah tercinta, Awang Hussin Awang Jinal, pada 29 Februari tahun lalu.
Arwah menghembuskan nafas terakhir akibat masalah dalaman perut ketika DJ Sonic berada di Kuala Lumpur kerana terikat dengan urusan kerja selepas menjaga ayahnya selama seminggu di hospital.
Keadaan ayahnya ketika itu tampak stabil dan dibenarkan pulang ke rumah. Namun tidak lama selepas itu, dia menerima panggilan daripada ibunya memaklumkan ayah kembali dimasukkan ke hospital.
Tanpa berlengah, dia segera menempah penerbangan ke Kapit, Sarawak. Bagaimanapun, takdir mendahului segalanya.
Sebaik pesawat mendarat di Sibu dan telefon bimbit diaktifkan, mesej demi mesej ucapan takziah mula membanjiri skrin.
“Waktu tu saya tak bercakap langsung dalam kereta. Saya cuma menangis.
“Tapi saya bersyukur kerana saya sempat sampai untuk mandikan jenazah ayah sendiri. Saya sempat peluk dia buat kali terakhir,” ujarnya.
Dua minggu selepas pemergian ayahnya, DJ Sonic mengambil keputusan untuk tidak bersiaran di radio.
Menurutnya, dia tidak mampu memaksa diri untuk gembira ketika hati masih hancur.
Ads
“On air perlukan emosi yang stabil. Kita kena gembirakan pendengar. Tapi masa tu, saya sendiri pun tak gembira. Saya masih menangis, saya masih rindu,” katanya lagi.
Proses Penyembuhan
Kesedihan yang berlarutan tanpa diurus dengan baik akhirnya membawa kepada gangguan kesihatan.
Memasuki bulan Jun dan Julai 2024, DJ Sonic mula mengalami kemurungan dan anxiety yang serius.
Berat badannya susut dengan ketara, dan dia tidak mampu bekerja selama sebulan.
Demi mencari ruang untuk sembuh, dia juga pulang ke Kuching untuk dirawat dan dijaga oleh adiknya. Di sana, proses pemulihan perlahan-lahan bermula.
Namun, hanya selepas hampir setahun, DJ Sonic akhirnya berjaya membuka diri untuk benar-benar melepaskan apa yang terbuku.
Ads
Malah dia berpeluang mengikuti sesi terapi dan healing bersama Dr Hisyam Dzakiria, seorang figura terkenal dalam bidang pembangunan emosi dan mental, pada awal Ogos lalu.
Dalam sesi itu, DJ Sonic meluahkan secara terbuka mengenai kehilangan ayahnya dan tidak mampu menahan air mata sepanjang lebih satu jam sesi berlangsung.
Bukan sekadar kerana kerinduan, tetapi juga rasa bersalah kerana tidak sempat meluangkan lebih banyak masa bersama arwah semasa hayatnya.
“Saya terlalu sibuk dengan kerja. Saya jarang telefon, jarang bertanya khabar. Bila dah tak ada, baru saya rasa betapa besarnya kehilangan tu,” katanya.
Ads
Berdamai Dengan Emosi
Dr Hisyam dalam sesi tersebut membantu DJ Sonic melihat kembali kisah kehilangan ini dari sudut yang lebih positif.
Dia mengajak DJ Sonic untuk berdamai dengan emosi sendiri, dan menukar rasa bersalah itu kepada satu bentuk penghargaan terhadap kenangan dan kasih sayang yang pernah wujud.
Menurut Dr Hisyam, tidak salah untuk menangis, kerana itu tanda kasih yang dalam.
Tetapi sebagai anak, Sonic juga harus merasa bangga kerana apa yang dilakukan hari ini kerana setiap lagu yang diputarkan, setiap suara yang disalurkan di udara, adalah satu dedikasi kepada insan yang pernah membesarkannya.
“Saya pernah cuba putar lagu kegemaran arwah masa on air, tapi saya terus menangis. Saya belum kuat.
“Tapi bila doktor kata, lagu tu bukan kenangan sedih, tapi satu penghormatan, saya mula ubah fikiran. Sekarang saya cuba redha dan bersyukur kerana pernah ada ayah sebaik itu,” ujar Sonic.
Kini, meskipun masih dalam proses rawatan untuk anxiety, DJ Sonic kembali melangkah hari demi hari dengan semangat yang lebih stabil.
Dia percaya bahawa healing bukan satu destinasi, tetapi satu perjalanan berterusan dan dalam setiap langkah itu, bayangan arwah ayah akan sentiasa bersamanya sebagai kekuatan dan cahaya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Selepas hampir tiga tahun menyepi daripada industri seni tanah air, penyanyi Ziha Salleh kini kembali membuat kemunculan semula dengan melancarkan single terbaharu berjudul Romansa.
Menurut Ziha, sepanjang tempoh tersebut dia sebenarnya sedang menantikan sebuah lagu daripada komposer terkenal, Aubrey Suwito.
“Sebenarnya saya sedang menunggu lagu baharu daripada Aubrey Suwito. Namun, dia sangat sibuk. Saya tak nak desak dia untuk dapatkan lagu terbaik.
“Biarlah komposer itu cari waktu yang sesuai untuk mengilhamkan sesuatu yang baik. Saya tak mahu memaksa untuk setiap tahun keluarkan lagu.
“Saya utamakan kualiti daripada kuantiti. Pada saya, Romansa ini datang pada waktu yang tepat.
“Kebetulan juga lagu dari Aubrey juga sudah siap. Ini tahun untuk saya kembali menyinar,” katanya kepada MH.
Lagu Romansa yang berentak City Pop ini merupakan sebuah karya ciptaan sahabatnya yang juga penyanyi dan komposer Indonesia, Allan Andersn.
Bekas bintang Akademi Fantasia musim ke-11 itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media lagu Romansayang berlangsung di Liten Coffee, Ampang pada Selasa.
Dalam pada itu, Ziha akui tidak berkecil hati jika ada yang sudah melupakan namanya sebagai seorang penyanyi, meskipun pernah memenangi Anugerah Industri Muzik ke-23 menerusi lagu Adat Kasih.
“Ada kerisauan jika nama saya dilupakan. Namun, saya hanya berserah kepada Allah. Ada sebab mengapa kerjaya saya tertangguh untuk tiga tahun.
“Dalam tempoh tersebut, saya tidak terlalu kecewa kerana banyak juga kejayaan yang diraih dalam kehidupan peribadi, keluarga dan anak-anak.
“Saya tidak berkecil hati jika orang tak kenal nama saya. Saya sudah reda dan berdamai dengan takdir. Pada saya, semua anak seni mengalami fasa jatuh dan bangun.
“Sewaktu usia saya masih muda, memang benar saya akan persoalkan segalanya. Kini saya hanya meneruskan hidup dan rezeki ada di mana-mana,” kongsinya lagi.
Katanya lagi, dia kini percaya bahawa setiap perancangan Allah itu adalah yang terbaik.
“Mungkin Allah nak ajar saya untuk bersabar. Bila tiba waktunya, ia akan terjadi juga.
“Saya tak mahu memaksa apa-apa lagi keadaan pada masa hadapan. Saya bersyukur dengan segala pemberian Tuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Ziha turut berharap agar lagu Romansa ini akan menjadi titik tolak kepada kebangkitannya di dalam industri seni.
“Saya rasa Romansa ini akan bawa saya kembali untuk betul-betul serius dalam dunia nyanyian. Saya hanya akan ikut keadaan.
“Saya pun tak sangka pihak media akan buat liputan hari ini. Saya sentiasa berdoa kepada Allah, jika ini yang terbaik, saya akan teruskan.
“Jika belum waktunya lagi, saya akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya akan terus keluarkan lagu untuk penuhi senarai lagu saya dan untuk anak-anak dengar karya-karya ibunya,” akhirinya.
Romansa kini sudah boleh didengari di seluruh platform penstriman utama.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia hiburan Indonesia kehilangan seorang lagi bintang apabila pelawak dan penyanyi, Nina Carolina atau lebih dikenali sebagai Mpok Alpa, meninggal dunia pagi semalam akibat kanser di usia 38 tahun.
Berita duka itu disahkan suaminya, Ajie Darmaji, yang memaklumkan isterinya menghembuskan nafas terakhir selepas bertahun-tahun berjuang melawan penyakit berkenaan yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Pemergian Mpok Alpa turut diumumkan secara langsung menerusi program FYP (For Your Pagi) di stesen televisyen Trans7 oleh pengacara Raffi Ahmad dan Irfan Hakim. Kedua-duanya dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan berita tersebut kepada penonton.
Sepanjang kerjayanya, Mpok Alpa dikenali dengan perwatakan ceria, celoteh spontan dan loghat Betawi yang menjadi identitinya. Beliau juga aktif dalam program hiburan televisyen serta sering menghiburkan penonton dengan lawak bersahaja.
Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata, termasuk pasangan kembar Raffi Ahmad Darmadina dan Raffa Ahmad Darmadina yang dilahirkan pada Oktober tahun lalu.
Kehilangan pelawak popular itu mencetuskan gelombang ucapan takziah daripada rakan artis dan peminat di media sosial. Ramai yang menyifatkan beliau sebagai insan yang baik hati, merendah diri dan sentiasa profesional meskipun berdepan ujian kesihatan.
Jenazah Allahyarham difahamkan dikebumikan di TPU Jakarta pada petang hari yang sama.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia ratu cantik Amerika Syarikat menyaksikan detik bersejarah apabila Ameera Hashwi, seorang graduan Undang-Undang, dimahkotakan sebagai Miss Wayne County 2025 yang pada 10 Ogos lalu.
Selepas kemenangan ini, Ameera akan membawa cabaran baharu apabila mewakili Wayne County di pentas Miss Michigan 2026. Pertandingan peringkat negeri itu akan menjadi penentu sama ada beliau layak melangkah ke peringkat lebih tinggi, iaitu Miss America, yang menjadi idaman ramai ratu cantik di seluruh Amerika Syarikat.
Gelaran tersebut membawa makna besar apabila beliau muncul sebagai wanita pertama yang memenangi pertandingan itu sambil mengenakan hijab, sekali gus memecahkan norma penampilan yang selama ini sinonim dengan pertandingan kecantikan.
Kejayaan ini dilihat sebagai satu simbol kepada keterangkuman dan kepelbagaian dalam dunia ratu cantik, di mana kecantikan tidak lagi diukur semata-mata melalui penampilan fizikal mengikut standard tradisional.
Ameera berjaya membuktikan bahawa keyakinan, personaliti, dan kebijaksanaan mampu menjadi aset utama untuk menyerlah di pentas pertandingan.
Ameera, yang menamatkan pengajian di Sekolah Undang-Undang, Wayne State University, mengangkat sumpah sebagai peguam pada Mei 2024. Latar belakang akademik yang cemerlang itu menjadikan beliau figura yang mampu menggabungkan kecantikan dan kepintaran, sesuatu yang jarang diketengahkan dalam dunia pertandingan ratu cantik.
Sekiranya berjaya di peringkat negeri, Ameera bukan sahaja akan menjadi wakil Michigan, malah berpotensi mengharumkan nama komuniti Muslim dan Arab-Amerika di pentas nasional. Perjalanan ini dijangka penuh cabaran memandangkan saingan di peringkat negeri sering melibatkan peserta yang berpengalaman dan mempunyai persiapan rapi.
Walaupun ada pihak yang tersilap menganggap Ameera sudah menjuarai Miss America, hakikatnya perjalanan beliau masih panjang. Kemenangan di peringkat daerah ini hanyalah permulaan kepada satu perjalanan yang memerlukan usaha gigih, disiplin dan persiapan mental yang mantap.
Bagi komuniti Muslim dan Arab-Amerika, kejayaan Ameera menjadi suntikan semangat bahawa hijab bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang selama ini dilihat jauh daripada jangkauan mereka. Sebaliknya, ia menjadi lambang kekuatan identiti dan keyakinan diri yang tidak mudah goyah.
Kini, semua mata tertumpu kepada langkah seterusnya buat Ameera Hashwi. Sama ada beliau berjaya menawan hati juri di peringkat Miss Michigan atau tidak, sejarah telah tercipta – dan kisahnya akan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda yang mahu mengejar impian tanpa mengorbankan prinsip hidup.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga suami kepada aktres terkenal, Datin Seri Zizie Ezette dilaporkan meninggal dunia pada usia 66...