
Rumah produksi Kembara Sufi Production Sdn. Bhd kini menyusun perancangan untuk memperbanyakkan lagi program berbentuk travelog pelancongan yang menampilkan keindahan budaya serta panorama alam ciptaan Allah SWT.
Selain memperkenalkan lokasi dan destinasi percutian terbaharu yang jarang dikunjungi pelancong, Pengarah Urusan Kembara Sufi Sdn Bhd, Muhammad Al-Fadzil, menyifatkan dokumentari sebegini mampu menjadi medium informasi sambil menghayati kebesaran ciptaan Allah.
“Selain masih aktif menerbitkan tele-filem, pihak kami juga akan meneruskan projek baharu iaitu dengan menerbitkan rancangan travelog memandangkan kami mempunyai kelebihan menerusi Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd.
“Alang-alang teroka destinasi baharu, mengapa tidak untuk kita jayakan program sedemikian yang secara tak langsung boleh memperkenalkan destinasi ini kepada pelanggan kami.
“Sebab saya percaya, ada di antara kita yang lebih berminat untuk mengetahui destinasi percutian yang jarang-jarang diketahui umum berbanding lokasi popular yang sedia ada,” katanya yang turut mementingkan konsep patuh syariah dalam setiap karya yang dihasilkan.
Kembara Sufi Production Sdn. Bhd sebelum ini pernah menerbitkan beberapa siri travelog dan drama seperti Travelogue Backpakers Balkan, Travelogue Backpakers Mesir, Anak Sena, Terlajak Subuh dan banyak lagi.
Dalam perkembangan lain, pihak produksi itu juga bakal menerbitkan projek drama terbaharu yang sedang dalam peringkat perancangan bagi memperkukuhkan lagi portfolio kreatif mereka.


Raih Pengiktirafan Berpestij
Dalam pada itu, Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd turut melakar sejarah apabila dianugerahkan Business Excellence in Travel and Tourism Services Award sempena Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA) 2025, di Hotel Sheraton Kuala Lumpur, malam tadi.
Pencapaian ini menandakan detik membanggakan untuk terus komited memberikan pengalaman perjalanan bermakna, perkhidmatan berkualiti dan penyelesaian pelancongan yang berfokus kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
Muhammad Al-Fadzil menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan tersebut dan menganggapnya sebagai satu kejayaan yang besar.
“Anugerah ini lebih daripada sekadar pengiktirafan tetapi mencerminkan kepercayaan para pelancong yang telah bersama kami sejak dahulu.
“Setiap perjalanan kami rangka dan urus berpandukan keyakinan bahawa pengembaraan harus memberi makna, keselamatan dan pengalaman.
“Kami amat bersyukur menerima penghormatan ini dan ia memberi semangat untuk terus berkhidmat dengan keikhlasan dan penuh komitmen,” katanya.
Sebagai sebuah ‘gergasi’ kembara, mereka memberi penekanan terhadap aspek makanan halal, waktu solat dan cara bersuci untuk mereka yang bermusafir, selain sesi perkongsian berkaitan sejarah tempat lawatan dan ilmu fiqh pengembaraan oleh ketua rombongan.
Pendekatan itu telah membantu membina komuniti pelanggan setia dan mengukuhkan kedudukan dalam industri pelancongan Malaysia yang semakin kompetitif.
“Industri pelancongan bukan sekadar melihat tempat baharu tetapi ia tentang hubungan, pembelajaran dan mencipta kenangan.
“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada pengalaman itu dan bekerja keras agar setiap perjalanan menjadi lancar dan bermakna,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, beberapa perancangan khusus telah dirangka bagi memperluaskan perkhidmatan dan meraih kepercayaan pelanggan untuk kekal utuh sebagai jenama yang disegani.
“Fokus kami adalah untuk berkembang seiring dengan perubahan industri, namun tetap berpijak pada prinsip yang membentuk jenama ini.
“Justeru, anugerah yang diterima ini sudah tentu menjadi dorongan kuat untuk kami terus belajar, memperbaiki dan menyediakan perkhidmatan pelancongan yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




