Berita

Keanu Azman Mohon Netizen Jangan Terlalu Keras Kritik Raja Azura – “Kami Cuba Berikan Yang Terbaik…”

Share

Pengacara Kilauan Emas Selebriti (KES), Keanu Azman tampil memohon orang ramai agar terus memberikan sokongan kepada rakan pengacaranya, Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku bagi terus mengendalikan program realiti terbaharu itu.

Ia susulan pelbagai reaksi yang diterima terhadap gandingan mereka di pentas program berkenaan ketika bersiaran untuk minggu pertama, Sabtu lalu.

Menurut Keanu, dia dan Kak Engku telah cuba memberikan usaha yang terbaik sepanjang mengendalikan rancangan itu.

Namun, dia mengakui mereka masih memerlukan sedikit masa untuk membina keserasian sebagai pasangan pengacara.

“Korang, janganlah terlaku berkeras dengan Kak Engku. Dia telah meletakkan usaha sebaik mungkin yang orang tak nampak.

“Kami benar-benar cuba berikan yang terbaik tapi ini baru minggu pertama.

“InsyaaAllah, kami berdua akan ada keserasian yang lebih baik selepas ini. Percayalah cakap saya,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan Keanu menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.

Harap Netizen Lebih Berhemah

Dalam pada itu, Keanu turut berharap agar penonton dapat lebih berhemah ketika melontarkan pandangan supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Kak Engku seorang manusia yang ada perasaan juga. Jadi, janganlah kita keterlaluan sampai memperlekehkan atau mengecam dia. Kita tenang-tenang sahaja,” ujarnya lagi.

Gandingan Terima Reaksi Bercampur

Terdahulu, gandingan Keanu dan Kak Engku ketika mengacarakan konsert saingan minggu pertama KES menerima pelbagai respons daripada netizen.

Sebahagian penonton berpendapat mereka masih belum cukup serasi dan memerlukan masa untuk tampil lebih selesa ketika mengendalikan program di atas pentas.

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang tampil memberikan sokongan serta meminta orang ramai memberi peluang kepada Keanu dan Kak Engku untuk terus memperbaiki mutu pengacaraan mereka pada minggu-minggu akan datang.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber: Threads Keanu Azman

Published by
Aizam Manaf