
Pengacara Keanu Azman percaya dirinya mampu menggalas tanggungjawab dalam pengacaraan menerusi kedua-dua lapangan, sama ada bidang hiburan dan korporat meskipun ada segelintir pihak melabelnya sebagai terlalu ‘skema’.
Menurut Keanu, tanggapan itu tidak memberi kesan kerana dia optimis untuk mengimbangi kedua-dua lapangan tersebut dan cuba memberikan yang terbaik.
“Saya percaya saya boleh melakukan kedua-duanya.
“Pada masa ini, portfolio utama saya merangkumi acara korporat sebagai pengacara majlis dan juga kerja-kerja pengacaraan televisyen.
“Saya masih menerima tawaran untuk syarikat korporat sehingga kini, dan saya suka buat pekerjaan itu,” katanya kepada MH.
Keanu berkata demikian ketika ditemui sejurus saingan minggu ketiga Kilauan Emas Selebriti (KES) yang berlangsung di Auditorium Bandaraya Shah Alam, Selangor, pada Sabtu.
Dalam masa sama, Keanu mendedahkan dia menyukai pekerjaan yang mencabar dari segi intelek, khususnya dalam bidang korporat, melibatkan syarikat-syarikat besar.
“Saya gemar melakukan kerja yang mencabar dari segi intelek. Contohnya dalam industri minyak dan gas.
“Saya pernah mengendalikan acara untuk Petronas, Shell, Nescafe dan pelbagai jenama lain di luar sana.
“Perkara tersebut memberikan kepuasan yang besar kepada saya,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, personaliti televisyen itu menegaskan dia selesa mengimbangi kedua-dua bidang, termasuk industri hiburan.
“Pada masa sama, saya juga menyukai kerja dalam bidang hiburan. Kenapa saya tidak boleh melakukan kedua-duanya?
“Apa salahnya? Kalau tidak, makan rumput sahaja lah kita atau jual buah pinggang,” selorohnya.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan dirinya terlalu serius sebagai pengacara hiburan, Keanu menjelaskan perkara itu sebagai sebahagian daripada perancangan pihak produksi.
“Sebenarnya, perkara itu adalah arahan daripada Astro.
“Pihak produksi beritahu saya perlu buat penonton lebih kenal dulu dengan diri saya.
“Pada minggu pertama, saya cuba juga jadi macam Nabil. Ada beberapa jenaka yang pada saya mungkin ‘kena’, tetapi apabila saya melakukannya, penonton agak ‘cringe’.
“Mereka nasihatkan saya supaya jadi lebih ‘decent’ dahulu, dan ikut skrip. Bila penonton sudah terbiasa dengan saya, barulah saya boleh jadi diri sendiri,” katanya lagi.
Bekas penyampai radio Hitz FM itu turut menambah, dia masih berada dalam fasa menyesuaikan diri sambil mengikuti perancangan yang telah ditetapkan oleh pihak produksi.
“Sekarang ini saya masih dalam fasa ‘good boy’. Saya ikut sahaja apa yang dirancang oleh penerbit dan pihak produksi.
“Insya-Allah, lama-lama nanti akan keluarlah Keanu Azman yang lebih ‘berbisa’,” akhirinya.
Sebelum ini, segelintir pengguna di aplikasi Threads berpendapat bakat Keanu sebagai pengacara lebih sesuai sekiranya diketengahkan dalam bidang korporat.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.