Categories: Berita Hiburan

Kamal Adli Tolak ‘Job’ Lain Demi Pahang, Bangga Jadi Hos Ambang Merdeka Maran…Esoknya Bersiap Awal Pagi Sertai Perarakan ‘Team’ Takluk 2: Op Daulat

Share

Pelakon dan pengacara Kamal Adli sanggup menolak beberapa tawaran lain demi kembali berbakti kepada negeri kelahirannya, Pahang apabila diberi kepercayaan mengendalikan acara Ambang Merdeka 2026 di Maran sempena program Semangat Merdeka Aspirasi Belia Pahang 1st.

Program yang berlangsung di Dataran Sejahtera, Maran, Pahang pada 30 Ogos lalu itu menerima sambutan baik apabila kira-kira 10,000 pengunjung hadir memeriahkan acara yang menghimpunkan pelbagai aktiviti untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Tolak Tawaran Lain Demi Pahang

Menurut Kamal, peluang mengacarakan acara berkenaan cukup dekat di hatinya dan dia sememangnya menantikan detik untuk bertemu peminat di negeri kelahiran, sekali gus menyambut bulan kemerdekaan dalam suasana yang lebih bermakna.

“Saya berbangga dan sudah lama menunggu momen ini, akhirnya jadi kenyataan. Sebelum ini memang ada tawaran untuk mengendalikan majlis sekitar Pahang, namun belum ada rezeki sebab terikat dengan komitmen lain. Tapi kali ini, impian itu dapat direalisasikan.

“Ada beberapa tawaran yang hadir dan saya terpaksa tolak demi program ini memandangkan jemputan tersebut sudah lama diterima.

“Terima kasih kepada pihak penganjur, kerajaan negeri sebab beri peluang ini untuk saya bersama-sama dengan penduduk Maran meraikan malam merdeka. Alhamdulillah, pengunjung yang hadir pun sporting dan happening. Syukur majlis berjalan lancar.

“Siapa tahu selepas ini kita boleh bekerjasama lagi menerusi program lain, Insya-Allah,” katanya.

Kamal turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta wakil rasmi Menteri Besar Pahang merangkap Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Aspirasi Pahang First, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, atas kepercayaan dan peluang.

Selain berpeluang mengacarakan acara Ambang Merdeka di Pahang, bapa kepada seorang cahaya mata itu turut teruja apabila diberi peluang menyertai perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/golongan-profesional-alim-ulama-turut-respon-perasaan-sunyi-serang-secara-tiba-tiba-kamal-adli-belum-terfikir-cari-pengganti/

“Rasa seronok sebab kalau dulu kita sendiri melihat bagaimana persediaan para peserta perbarisan yang bersiap awal pagi, melakukan sesi latihan dan sebagainya.

“Namun kali ini kita pula yang merasai pengalaman serupa. Saya bersama-sama mengikuti perbarisan bersama ‘team’ filem terbaharu, Takluk 2: Op Daulat bagi mempromosikan naskhah berkenaan,” katanya lagi.

Pelbagai Aktiviti Tarik Ribuan Pengunjung

Sementara itu, Ambang Merdeka 2026 bukan sekadar menampilkan acara pentas dan persembahan artis, malah turut diisi dengan pelbagai aktiviti sepanjang program bagi memeriahkan sambutan.

Antara aktiviti yang diadakan ialah Zumba Merdeka bersama Cik Fendi, Sukan Rakyat Merdeka Edition, pertandingan e-sukan Mobile Legends: Bang Bang dan eFootball, Belia Maran X Lepak Tasek Maran, Sarong Sepak Penalti serta Batik Netball Shoot Up.

Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pertandingan mewarna, Merdeka Fashion Week, pertandingan masakan warisan Malaysia, Walk A Town With Me Pahang 1st, Maran Neon Night Run X Batik, 4X4 Gathering serta pertandingan dekorasi kek Merdeka.

Kemeriahan acara diserikan lagi dengan persembahan artis popular seperti Haqiem Rusli, Cherpen, Hadie Elfardie dan Baggio, selain pertunjukan bunga api yang menjadi kemuncak sambutan Ambang Merdeka 2026.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH