Berita

“Kalau Perlu Menunggu Lagi Dua Minggu, Saya Akur Dan Patuh,” – Syed Saddiq

Share

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menjangkakan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap dirinya yang sepatutnya diputuskan hari ini, ditangguhkan pada 13 Julai depan.

Memetik laporan Harian Metro, Syed Saddiq memaklumkan dirinya akur perlu menunggu dua minggu lagi bagi keputusan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang dihadapinya.

Katanya lagi, walaupun hal ini di luar jangkaanya namun, dia tetap menghormati keputusan panel hakim serta institusi kehakiman negara yang menjadi benteng terakhir bagi individu sepertinya mendapatkan keadilan.

“Bukan melalui jalan pintas ataupun layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri.

“Saya faham perkara ini (penangguhan keputusan) memang tidak dijangkakan, sebab itu agak sukar untuk saya berikan apa-apa komen atau ulasan lanjut.

“Ia bukan sesuatu yang kami rancang atau ada dalam perancangan.

“Kes ini bukanlah kes yang baharu. Sudah enam tahun saya berentap untuk mendapatkan keadilan, untuk membersihkan nama, integriti dan maruah saya. Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur dan patuh,” katanya seperti yang dipetik.

Faham Masalah Kesihatan

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA kepada 13 Julai depan selepas seorang daripada panel hakim tidak sihat.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan, prosiding pada hari ini tidak dapat diteruskan selepas salah seorang anggota panel iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari, iaitu hari ini dan esok.

Dalam masa sama, Syed Saddiq akui hal berkaitan kesihatan sememangnya bukan sesuatu yang dapat dielakkan.

Lantaran itu, beliau faham mengapa mahkamah membuat keputusan sedemikian pada hari ini.

“Apabila berkaitan dengan isu kesihatan yang kadangkala di luar kawalan, saya secara peribadi memang menghormati keadaan itu, khususnya apabila membabitkan institusi kehakiman yang saya junjung tinggi.

“Saya mesti memberikan tahap hormat yang tertinggi sebagai seorang penggubal undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq tiba ke Istana Kehakiman, Putrajaya pada jam 8.50 pagi, diiringi ibunya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz.

Turut hadir bersama adalah tunangnya yang juga selebriti terkenal, Bella Astillah dan abangnya, Syed Abdullah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Kredit Foto: Harian Metro & Instagram Syed Saddiq

Published by
Aizam Manaf