“Kalau Hari Ini Allah Bagi Rezeki Lebih, Ada Yang Dalam Kebuntuan,”- PKP Kali Ini Berbeza, Fiza Sabjahan Seru Orang Ramai Bertimbang Rasa Di Media Sosial

Share

Pengacara, Fiza Sabjahan menyifatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada kali ini dilihat agak berbeza bagi sesetengah pihak terutamanya yang terputus punca rezeki.

Lantaran itu, Fiza menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam setiap percakapan terutamanya menerusi posting di media sosial agar tidak menyinggung hati mana-mana pihak.

“PKP kali ni berbeza dengan yang pertama dahulu. Peringatan untuk diri sendiri sebelum nak post apa-apa di media sosial. Ramai yang dalam kesempitan dan kesusahan.

“Kalau mungkin hari ini ALLAH bagi kita rezeki yang berlebihan. Ada yang dalam kebuntuan. Semoga dipermudahkan,” tulisnya.

Peringatan tersebut dikongsikan oleh pengacara program Wanita Hari Ini itu menerusi akaun Twitter miliknya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan pandangan yang sama selain turut berharap agar seluruh rakyat Malaysia kuat menghadapi dugaan ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 26 Januari depan.

Jelas Tan Sri Muhyiddin, enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Makanala, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

Sumber: Twitter Fiza Sabjahan

IKLAN