
Warisan budaya Malaysia tidak seharusnya hanya diraikan ketika festival atau sambutan tertentu, sebaliknya perlu dibawa lebih dekat dengan generasi muda agar terus relevan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Pendekatan itu menjadi teras kepada FM Group yang diasaskan oleh pereka fesyen Farel Mikhail bersama Pengerusi Program, Jonathan Kok menerusi penganjuran Precious of Malaysia Citraloka 2026.
Dalam usaha mendekatkan warisan negara kepada golongan muda, Farel dan Jonathan turut menyimpan impian untuk menjalin kerjasama dengan penyanyi popular Wani Kayrie bagi memeriahkan pentas final Precious of Malaysia.
“Kalau ditanya, kami mengimpikan Wani Kayrie tampil membuat persembahan di pentas final program Precious of Malaysia.
“Kalau ada rezeki, lebih istimewa jika beliau sudi mengenakan busana rekaan kami,” kata Farel.
Menurutnya, hasrat itu bukan sekadar didorong populariti Wani, sebaliknya kerana penyanyi berkenaan dilihat mampu menjadi jambatan yang menghubungkan budaya, fesyen dan generasi baharu.
“Dalam masa yang sama, kami akui cukup meminati lagu Cak Cak Cekuk nyanyian Wani Kayrie.
“Selain itu, kami melihat karakter dan imej Wani juga sesuai dengan konsep yang mahu diketengahkan dalam Precious of Malaysia,” ujarnya lagi.
Bagi mereka, kolaborasi bersama Wani mampu menjadi pendekatan kreatif untuk membawa fesyen tradisional dan identiti Malaysia kepada khalayak yang lebih muda, khususnya pengguna media sosial.
Menurut Farel, persepsi masyarakat khususnya golongan muda terhadap budaya perlu diubah supaya warisan tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang ‘old-fashioned’ atau hanya sesuai dipamerkan di muzium.
“Kita kena ubah cara kita membawa budaya. Itulah yang kami lakukan dalam Precious of Malaysia.
“Kalau budaya hanya diletakkan dalam muzium atau dipersembahkan ketika sambutan tertentu, generasi muda mungkin melihatnya sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan mereka.
“Untuk itu, Precious of Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih dekat dengan dunia anak muda menerusi fesyen, kandungan media sosial, pertandingan, catwalk, muzik, pendidikan dan kolaborasi,” katanya.
Dalam konteks itu, figura seperti Wani Kayrie dilihat mampu membantu memperluaskan capaian mesej berkenaan kerana muzik dan fesyen mempunyai pengaruh besar dalam membentuk trend serta gaya hidup generasi muda.
Apabila seorang penyanyi muda mengenakan busana tempatan di pentas persembahan atau berkongsi penampilannya di media sosial, ia secara tidak langsung menjadikan elemen warisan lebih dekat, moden dan mudah diterima.
“Bagi saya, kerjasama seperti ini juga boleh membuka ruang kepada pereka tempatan untuk menghasilkan rekaan yang menggabungkan elemen tradisional dengan potongan kontemporari tanpa menghilangkan identiti asalnya.
“Contohnya Seni Telepuk. Dalam acara sebelum ini, kita bukan sekadar pamerkan Telepuk. Kita sudah mulakan bengkel bersama pelajar, mereka belajar menghasilkan Telepuk, kemudian hasil itu dibawa ke pertandingan dan pentas fesyen.
“Kita mahu anak muda rasa bahawa memakai batik, kebaya, songket atau mengangkat seni tradisi itu bukan sesuatu yang ‘old-fashioned’,” katanya.
Menurutnya, warisan tidak perlu diubah identitinya semata-mata untuk menjadikannya trendy. Sebaliknya, cara warisan itu dipersembahkan kepada generasi baharu yang perlu berubah.
“Ini amat penting dalam memastikan budaya tempatan tidak terputus daripada generasi masa kini yang lebih terdedah kepada pengaruh budaya global melalui media sosial dan dunia digital.
“Atas alasan itu juga, Precious of Malaysia Citraloka 2026 turut memberi ruang kepada pelajar, pereka muda, artisan, usahawan kreatif, model, penggiat seni, sekolah, kolej vokasional, universiti dan masyarakat umum untuk terlibat secara langsung,” katanya.
Baca Artikel Lain;
Precious of Malaysia Citraloka 2026 bakal berlangsung selama enam hari bermula 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa.
Sepanjang penganjuran itu, pelbagai aktiviti menarik disusun termasuk International Cultural Fashion Week, Gema Tari Etnik Malaysia, Si Cilik Busana Kreasi Tradisi, Lenggok Si Bulus, aktiviti masakan dan bakeri, persembahan muzik, tarian serta pengisian Seni Telepuk.
Kemuncak acara pada 16 September bersempena Hari Malaysia ialah Precious Cultural Walk, yang menghimpunkan peserta berbusana tradisi dan budaya untuk bersama-sama membawa semangat perpaduan mengelilingi tasik.
Farel berkata, konsep penganjuran kali ini bukan sekadar mengajak masyarakat hadir sebagai penonton, tetapi memberi peluang kepada mereka untuk melihat, belajar, mengambil bahagian dan merasai sendiri kepelbagaian budaya Malaysia.
“Warisan tidak perlu diubah identitinya untuk menjadi trendy. Cara kita mempersembahkannya yang perlu berubah.
“Kita tidak mahu budaya hanya dikenang – kita mahu budaya dipakai, digunakan, dikongsi dan dibanggakan,” katanya.
Precious of Malaysia Citraloka 2026 turut dilaksanakan dalam ekosistem Festival Budaya Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), selain membabitkan pelbagai institusi pendidikan, pereka, artisan, penggiat seni dan rakan industri.
Selepas lima tahun membina platform berkenaan, FM Group mahu Precious of Malaysia bergerak lebih jauh dengan menghubungkan warisan kepada industri serta generasi baharu.
Sementara itu, Jonathan Kok berkata, impian bekerjasama dengan Wani Kayrie merupakan sebahagian daripada visi lebih besar untuk melihat fesyen, muzik dan budaya tempatan berkembang dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
“Kita percaya apabila artis, pereka fesyen dan penggiat budaya bergabung, mesej mengenai warisan Malaysia dapat disampaikan dengan cara yang lebih segar, dekat dan mudah diterima generasi muda.
“Jika perancangan dan impian itu menjadi kenyataan, ia bukan sahaja memberi nilai kepada Precious of Malaysia, malah membuka peluang untuk memperkenalkan rekaan tempatan kepada peminat Wani dan khalayak lebih luas.
“Sekaligus, kita berharap lebih ramai artis muda selepas ini berani membawa elemen budaya Malaysia dalam karya, muzik dan penampilan mereka,” katanya.
Antara impian terbesar mereka adalah melihat Wani Kayrie menyampaikan lagu hitnya, Cak Cak Cekuk, sambil menggayakan busana rekaan Farel dan Jonathan sebagai simbol bahawa warisan Malaysia mampu tampil moden, bergaya dan dekat dengan jiwa generasi muda.
Dalam perkembangan sama, Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK) dan FM Group turut mengumumkan kerjasama strategik bagi memartabatkan seni, muzik dan warisan budaya Malaysia.
Menerusi kerjasama itu, Precious of Malaysia Citraloka 2026 dan Festival Pancaragam Malaysia 2026 menjadi pengisian utama Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026.
Festival yang dianjurkan oleh MOTAC itu akan berlangsung dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa sempena sambutan Hari Malaysia.
Pelancaran Precious of Malaysia Citraloka 2026 baru-baru ini turut menyaksikan pelancaran rasmi Festival Pancaragam Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 September depan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.