
Penyanyi, Lan Solo meluahkan rasa syukur apabila dia sekeluarga tidak berdepan sebarang masalah sepanjang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci, Mekah, baru-baru ini.
Situasi itu menjadi perhatian susulan beberapa negara di Timur Tengah kini berdepan pergolakan dan krisis perang.
Menurut Lan atau nama sebenarnya, Muhammad Razlan Mohamed Yusof, dia dan keluarga berada dalam keadaan selamat sepanjang berada di sana.
Malah, suasana di Mekah dan Madinah juga dilaporkan tenang tanpa sebarang gangguan.

“Melalui berita-berita semasa berkaitan keadaan di Timur Tengah, ia turut membuatkan keluarga kami ni Malaysia agak risau. Sebenarnya keadaan kami di sana, baik-baik sahaja.
“Semua orang sibuk beribadah dan berulang- alik ke masjid. Di Tanah Suci, tiada apa pergolakan yang berlaku. Jika di Arab Saudi, kawasan yang diserang itu hanyalah di pengkalan tentera Amerika sahaja.
“Lokasi itu jauh daripada kami. Seperti yang kita semua tahu, tidak akan ada apa-apa yang akan berlaku di Mekah dan Madinah,” katanya kepada MH.
Bekas anggota kumpulan Kristal itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran lagu Zapin Usik Mengusik 2.0, baru-baru ini.

Lan turut memaklumkan dia dan keluarga telah selamat pulang ke Tanah Air pada awal pagi Selasa.

“Kami tidak terkandas. Cuma jadual penerbangan pulang kami ke tanah air sama dengan mereka yang terkandas sebelum ini. Rata-rata mereka berfikirkan positif.
“Kata mereka, bukan mudah nak tinggal lebih lama di Tanah Suci. Mungkin ini rezeki mereka. Sewaktu penerbangan pulang, kami juga banyak berdoa agar tiada apa-apa hal yang berlaku.
“Kami terpaksa transit ke India dahulu. Itu sahaja laluan yang tidak ditutup,” kongsinya lagi.
Pengalaman Umrah Ramadan
Berkongsi pengalaman menunaikan umrah pada bulan Ramadan, Lan mengakui ia memberi pengalaman yang sangat bermakna apabila dapat meluangkan masa beribadah bersama keluarga tercinta.

“Suasananya sangat berbeza dengan pengalaman umrah saya sebelum ini. Saya tak pernah pergi umrah pada bulan Ramadan. Isteri saya yang teringin berpuasa di sana. Mungkin doanya termakbul.
“Saya pula memang tak boleh berjauhan dengan anak-anak. Jadi, isteri saya rancang untuk bawa satu keluarga pergi sekali. Hampir sebulan juga kami di sana.
“Kami dapat merasai suasana Ramadan di Mekah dan Madinah. Keadaan di Mekah memang sangat padat. Di Madinah pula penuh dengan ketenangan,” katanya lagi.
Mengulas soal kebimbangan menunaikan umrah ketika situasi perang sedang berlaku, Lan menjelaskan bahawa dia sebenarnya lebih bimbang terhadap keluarga di Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan mereka melalui berita.

“Berkaitan hal perang ini, kami tidak risau. Kalau Allah cabut nyawa di situ pun, kita rasa beruntung sangat. Saya hanya risau tentang keluarga di Malaysia yang turut risaukan kami.
“Mereka sentiasa bertanya tentang keadaan kami. Mereka pula lihat berita yang macam-macam dan tonton video-video yang teruk sahaja. Sebab itu hari-hari saya perlu muat naik posting untuk maklumkan keadaan kami okay.
“Kami tenang sahaja berulang alik ke masjid, pergi makan dan buat hal-hal lain,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Kredit Foto: Instagram Lan Solo
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




