
Platform penstriman tempatan, UTV terus mencipta pencapaian baharu dalam industri hiburan digital apabila secara rasmi melancarkan saluran TV Digital yang kini boleh diakses menerusi semua peranti Android TV.
Langkah strategik ini menandakan satu transformasi besar dalam usaha UTV memperluaskan capaian penonton, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai platform Over-the-Top (OTT) tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr. Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana, pada Majlis Seri Syawal Usanita 2026 di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Adzliana, keputusan untuk memperluaskan akses ke Android TV dibuat susulan sambutan luar biasa terhadap aplikasi UTV di peranti mudah alih dan desktop.
“UTV kini boleh ditonton di TV seperti OTT lain. Ia bukan saluran TV, tetapi aplikasi seperti platform penstriman antarabangsa. Pengguna hanya perlu membuka Android TV dan boleh menikmati kandungan seperti pawagam peribadi di rumah,” katanya.
Menurutnya lagi, pengalaman tontonan di skrin besar memberikan nilai tambah kepada pengguna, khususnya untuk menikmati kandungan secara santai bersama keluarga.
UTV terus mengekalkan identitinya sebagai platform hiburan ‘feel good’ dengan memberi fokus kepada genre romantik komedi yang ringan dan menghiburkan.
Sehingga kini, hampir 30 telefilem baharu termasuk siri UTV Nusantara telah ditawarkan, menampilkan gabungan pelakon Malaysia dan Indonesia bagi menghasilkan kandungan yang lebih segar serta relevan kepada penonton serantau.
“Kadang-kadang orang penat dengan kerja harian. Bila menonton cerita ringan, ia boleh beri rasa tenang dan gembira,” katanya.
UTV turut mencatat pencapaian memberangsangkan dengan lebih 30 juta tontonan secara keseluruhan sejak diperkenalkan.
Antara kandungan paling berjaya ialah telefilem Postkad Cinta Dari Auckland lakonan Fattah Amin dan Amira Othman yang meraih lebih 20.1 juta tontonan, sekali gus menjadi antara karya tempatan paling popular di platform tersebut.
Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pengembangan UTV ke platform televisyen digital.
“Selain itu, UTV mengekalkan model perniagaan ‘pay-per-content’, di mana pengguna hanya perlu membayar kandungan yang ingin ditonton tanpa komitmen langganan bulanan.
“Pendekatan ini dilihat lebih fleksibel dan mesra pengguna, khususnya bagi mereka yang ingin mengawal perbelanjaan hiburan digital,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, UTV turut merancang untuk mengembangkan sayap ke industri perfileman dengan sasaran menerbitkan filem layar perak menjelang tahun 2027.
Projek tersebut dijangka melibatkan pelakon gred A serta personaliti berpengaruh, sekali gus mengukuhkan aspirasi UTV sebagai peneraju kandungan hiburan serantau.
Aplikasi UTV kini boleh dimuat turun melalui App Store bagi pengguna iOS dan Play Store untuk pengguna Android, selain turut tersedia di Android TV bagi pengalaman tontonan yang lebih imersif.
Pelancaran ini mencerminkan evolusi pesat industri hiburan digital tempatan, sekali gus mengangkat UTV sebagai jenama yang komited dalam menyediakan kandungan berkualiti tinggi kepada penonton Malaysia dan serantau.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini