Pengesahan pernikahan ahli perniagaan, Datuk Mohd Rayus Abdul Rahman dan usahawan kosmetik, Joy Revfa bakal diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 28 September ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Pendaftar, Aminullah Bahrin ketika pengurusan kes disebut di hadapannya hari ini.

Rayus ketika ditemui berkata, dia dan Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Amin telah melengkapkan kesemuanya dokumen.

“Hari ini saya dah peguam Joy telah memfailkan afidavit keterangan dan dokumen tambahan kepada mahkamah bagi melengkapkannya.

“Sekiranya tiada apa-apa, mahkamah akan membuat keputusan pengesahan nikah saya dan Joy pada tarikh berkenaan,” katanya.

Peguam syarie yang mewakili Joy, Aznod Suhaida Dollah mengesahkan perkara itu.

IKLAN

“Mahkamah memerlukan masa untuk meneliti dokumen yang difailkan sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Sementara itu, ditanya hubungan dengan Joy, Rayus mengakui ianya bertambah baik.

“Kami saling berhubungan dan bertukar maklumat supaya proses mahkamah berjalan lancar,” katanya.

Rayus dan Joy bernikah di Songkhla, Thailand pada 10 Januari 2013 dan dikurniakan seorang anak, Arryan Firdaus, berusia tiga tahun.

Pasangan itu didakwa telah bercerai melalui aplikasi WhatsApp selepas tiga tahun melayari rumah tangga. 

IKLAN

Bagaimana pun pernikahan dan penceraian itu tidak pernah didaftarkan di negara ini.

Rentetan itu, suami terkini Joy, Hafiz Hamidun yang juga seorang penyanyi mendakwa pernikahannya dengan wanita itu Mei lalu tidak sah.

IKLAN

Kes tersebut juga sedang didengar di mahkamah ini setelah Joy memfailkan permohonan faraq terhadap Hafiz.

Teks oleh : TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI