Berita

“Jodoh Datang Dalam Waktu Yang Kita Tak Sangka,” – 3 Tahun Bergelar Ibu Tunggal, Puteri Lily Lokman Pilih Azri Musa Sebagai Teman Hidup

Share

Selepas tiga tahun menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal, pekerja sebalik tabir yang juga usahawan, Puteri Lily Lokman akhirnya kembali mengecap kebahagiaan apabila selamat mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan hatinya, Azri Musa pada 14 Februari lalu.

Menurut Puteri Lily, keputusan untuk berkahwin semula bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu-buru.

Sebaliknya, dia mengambil kira pelbagai aspek, termasuk perasaan anak-anak serta hakikat bahawa dirinya sudah terbiasa hidup berdikari.

“Setelah tiga tahun bergelar ibu tunggal, akhirnya saya kembali punyai pasangan hidup. Sejujurnya, bukan mudah nak buat keputusan kerana mungkin sudah terbiasa dengan kehidupan sendiri.

“Dan bukan senang juga untuk Ara Aziz menerima orang baharu dalam hidup kami tapi alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya.

“Jodoh datang dalam waktu yang kita tak sangka,” tulisya menerusi satu hantaran terkini di Instagram.

Mohon Doa Yang Baik-Baik

Dalam masa sama, ibu kepada penyanyi cilik, Ara Aziz ini turut meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan semula dengan jodoh.

Dia juga berharap agar perkahwinan yang dibina dapat berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Sempena berkat bulan Ramadan, saya mohon doakan yang terbaik buat keluarga kecil kami. Semoga perjalanan baharu ini membawa bahagia untuk saya dan anak-anak.

“Terima kasih juga kepada semua yang terlibat dalam majlis yang serba sederhana ini. Saya sayang semua,” kongsinya lagi.

Untuk rekod, Puteri Lily pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah terkenal, Aziz M Osman pada 6 Jun 2010.

Pasangan tersebut berpisah pada tahun 2023 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Puteri Nur Azzahra dan Putera Muhamad Aryan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Kredit Foto: Instagram Puteri Lily Lokman

Published by
Aizam Manaf