“Jika Hubungan Tak Menjadi, Jangan Bermusuh Dan…,” – Erra Fazira Perjelas Bila Awie Mahu ‘Rungkai’ Kisah Cinta Lama

Share

Masih berbekas di hati peminat kisah cinta paling yang pernah terjalin 25 tahun lalu di antara Awie dan Erra Fazira.

Malah jelas primadona ini ketika ditemui pada sidang media Konsert Awie Romantika, dia tidak menafikan sehingga ke hari ini dia masih menerima pertanyaan yang sama, apa punca berpisah dan sebagainya.

“Awie dan Erra memang sinonim sebagai pasangan dahulu. Apabila hubungan kami tidak menjadi, ia terus menjadi tanda tanya mengapa? Orang sering bertanya.

“Apabila nampak saya orang masih bertanya mana Awie?,” katanya kepada media.

Bukan sengaja mahu menimbulkan kenangan lama, namun ibu tunggal ini memberitahu, dia dan Awie sepakat mahu menunjukkan contoh terbaik bahawa berpisah bukan bererti harus bermusuh.

“Jika hubungan itu tidak terjadi, jangan bermusuh dan kita boleh menjadi teman rapat. Lagipun kita sudah mengenali perangai masing-masing,” jelasnya lagi.

Kata penyanyi Menangkah Cinta ini lagi, meski agak berat pada mulanya menerima lamaran Awie apabila memikirkan perasaan isteri dan anak-anak lelaki itu, namun selepas menerima penjelasan dan mendapat kebenaran isteri, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, Erra menyatakan persetujuan.

“Apabila Awie mengatakan dia mahu merungkai kisah cinta kami, ada perkara yang harus dijaga. Harus ada persetujuan kedua belah pihak supaya pihak Awie tiada yang tersinggung.

“Memang orang masih mengharapkan kami bersama. Mungkin nama kami terlalu sinonim sehingga sukar untuk dipisahkan,” ulasnya lagi.

Erra bakal menyampaikan lima buah lagu dalam Konsert Awie Romantika yang akan dilangsungkan pada 15 Februari 2020 di Stadium Malawati, Shah Alam.

Tiket boleh didapati menerusi www.myticket.asia, bagi yang berminat.

IKLAN