Berita

“Jika Ada Manusia Yang Merendahkan, Mencaci Atau Menzalimi Kami, Jadikan Ia Penghapus Dosa,”- Norman Hakim

Share

Pelakon Norman Hakim meluahkan rasa syukur atas segala rezeki dan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada dirinya serta keluarga.

Menurutnya, walaupun diberikan kesenangan, dia tidak mahu menjadi sombong atau alpa dengan kelalaian dunia.

Doa Agar Kekal Rendah Hati

“Jika hari ini Engkau melapangkan rezekiku, maka jangan Engkau lapangkan hatiku dengan kesombongan. Jika Engkau meninggikan darjatku, maka jadikan aku semakin tunduk dan sujud kepadaMu.

“Jangan biarkan nikmat yang Engkau beri menjadi asbab aku lupa kepadaMu. Jangan jadikan kekayaan sebagai hijab yang menjauhkan aku daripada rahmatMu.

“Kurniakanlah kepadaku hati yang sentiasa bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir dan jiwa yang sentiasa merasakan bahawa semua yang aku miliki hanyalah pinjaman daripadaMu,” tulisnya.

Luahan tersebut dikongsikan pelakon drama Gerak Khas The Movie itu menerusi satu hantaran di Instagram.

Pada masa sama, Norman turut memohon agar dirinya sekeluarga dilindungi daripada sifat mazmumah serta niat jahat manusia.

“Ya Allah, peliharalah kami daripada sifat riak, ujub, takabbur dan cinta kepada pujian manusia. Ajarkan kami untuk lebih takut kehilangan redaMu daripada kehilangan seluruh harta dunia.

“Ya Allah, lindungilah kami, keluarga kami dan segala rezeki yang Engkau amanahkan daripada pandangan mata yang penuh ’ain, daripada hasad dengki, iri hati, fitnah, sihir serta segala keburukan yang tersembunyi dan yang nyata.

“Cukuplah Engkau menjadi sebaik-baik Pelindung,” kongsinya lagi.

Anggap Ujian Sebagai Hikmah

Tambah Norman, meskipun dia dan keluarga sering menjadi sasaran kecaman, dia percaya setiap ujian yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

“Ya Allah, jika ada manusia yang memfitnah, mencaci, merendahkan atau menzalimi kami tanpa kebenaran, janganlah Engkau jadikan hati kami dipenuhi kebencian.

“Sebaliknya, jadikan semua itu sebagai penghapus dosa, pengangkat darjat dan sebab Engkau membuka pintu-pintu rezeki yang tidak pernah kami sangka.

“Ya Allah, kepadaMu kami serahkan urusan setiap insan yang menjadi pencetus, penyebar dan penyambung fitnah terhadap kami.

“Engkau Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati dan apa yang dizahirkan oleh lisan,” kongsinya lagi.

Malah, Norman turut menegaskan bahawa dia terbuka menerima sebarang teguran demi menjadi insan yang lebih baik.

“Jika mereka benar, tunjukkanlah kami kebenaran dan perbaikilah kami. Namun jika kami dizalimi, maka cukuplah Engkau sebagai Pembela kami.

“Kembalikanlah segala urusan kepada keadilanMu, kerana tiada sebaik-baik Hakim selain Engkau.

“Jangan biarkan hati kami dipenuhi dendam, tetapi penuhilah ia dengan sabar, reda dan keyakinan bahawa setiap ketetapanMu adalah yang terbaik,” akhirinya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber: Instagram Norman Hakim

Published by
Aizam Manaf