
Pelakon Hollywood terkenal, Jesse Eisenberg mengesahkan akan mendermakan salah satu buah ginjalnya kepada individu yang tidak dikenalinya dalam masa terdekat.
Eisenberg, 42, menyatakan bahawa pendermaan tersebut akan dilakukan secara non-directed living donation, iaitu kepada penerima yang tiada pertalian keluarga atau hubungan peribadi dengannya.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas melalui proses penilaian kesihatan dan kelayakan selama beberapa tahun. Prosedur pembedahan dijangka berlangsung sekitar pertengahan Disember tahun ini.
Eisenberg memaklumkan, hasrat untuk menderma organ telah terdetik sejak hampir 10 tahun lalu, namun hanya kini dapat direalisasikan selepas melalui semua ujian perubatan yang diperlukan.
Menurut laporan media antarabangsa, Eisenberg turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut tercetus selepas beliau aktif menderma darah dan menyedari kesan besar yang boleh diberikan melalui sumbangan sebegitu.
Beliau turut menegaskan bahawa prosedur berkenaan adalah selamat dan diperlukan oleh ramai pesakit di seluruh dunia yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan organ yang sesuai.
Selain itu, Eisenberg menyertai program pendermaan yang membolehkan ahli keluarganya mendapat keutamaan sekiranya mereka memerlukan pemindahan ginjal pada masa hadapan melalui sistem voucher yang ditawarkan.
Imbas kembali, Eisenberg memulakan kerjaya dalam dunia hiburan sejak berusia 13 tahun lagi dengan membintangi siri televisyen berjudul Get Real. Beliau pernah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Academy pada tahun 2011 menerusi lakonannya dalam filem The Social Network.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

Pelakon terkenal Hollywood, Brad Pitt, telah memfailkan saman berjumlah AS$35 juta (kira-kira RM163 juta) terhadap bekas isterinya, Angelina Jolie, berhubung penjualan kepentingan dalam kilang wain mewah mereka, Château Miraval, yang terletak di Perancis.
Menurut laporan majalah People, tindakan undang-undang itu difailkan selepas pihak Pitt mendakwa Jolie telah menjual bahagiannya dalam syarikat tersebut tanpa sebarang perbincangan atau persetujuan daripada beliau.
Penjualan itu dipercayai dilakukan pada tahun 2021 kepada sebuah syarikat milik pelabur Rusia, Yuri Shefler. Dalam dokumen mahkamah yang dikemukakan pada 29 Oktober lalu, pihak Pitt turut menyertakan satu e-mel daripada Jolie yang dijadikan bukti utama dalam kes berkenaan.
Pelakon filem Fight Club itu menegaskan bahawa tindakan bekas isterinya itu telah menjejaskan operasi serta reputasi perniagaan wain Miraval yang sebelum ini diurus bersama.
Pitt mendakwa, penjualan tersebut bukan sahaja dilakukan secara tergesa-gesa, malah menyalahi perjanjian asal mereka yang menetapkan sebarang keputusan berkaitan syarikat mesti dibuat secara bersama. Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi berjumlah AS$35 juta sebagai pampasan terhadap kerugian yang dialami.
Sementara itu, pihak Jolie melalui peguamnya menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan tindakan Pitt sebagai cubaan untuk terus menekan serta mengawal beliau dari segi kewangan dan undang-undang.
Peguam Jolie juga mendakwa tuntutan Pitt itu tidak berasas kerana segala urusan jual beli telah dilakukan secara sah mengikut prosedur undang-undang.
Dalam perkembangan sama, pihak Jolie turut enggan menyerahkan beberapa dokumen tambahan yang diminta oleh Pitt atas alasan ia dilindungi di bawah perjanjian kerahsiaan (NDA) serta hak komunikasi antara peguam dan klien.
Mahkamah dilaporkan akan meneruskan sesi pendengaran seterusnya pada 17 Disember depan bagi meneliti semula permohonan dokumen dan tuntutan kedua-dua belah pihak.
Pertikaian mengenai Château Miraval itu menjadi lanjutan kepada perbalahan panjang antara pasangan bintang Hollywood tersebut yang berpisah pada tahun 2016 selepas 12 tahun bersama dan mempunyai enam orang anak hasil hubungan mereka.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

Saingan Muzikal Lawak Superstar 5 (MLS5) semakin hampir ke kemuncaknya apabila slot ke pentas akhir bakal diketahui, Sabtu ini.
Menjelang saingan separuh akhir, peminat mulai membuat ramalan kumpulan manakah yang ada potensi besar untuk melangkah ke pentas paling berprestij dalam dunia komedi muzikal negara.
MLS5 musim ini tampil lebih agresif dengan tema ‘Clash of Empire’, yang bukan sahaja menuntut lawak spontan serta punchline tajam, malah memerlukan kreativiti dalam elemen muzik, lakonan dan visual pentas berinspirasikan empayar global.
Dalam cabaran sebesar ini, hanya yang benar-benar konsisten mampu lolos ke final, seterusnya merebut gelaran juara!
Pelawak popular, Zizan Razak yang juga juri tetap MLS5 berpendapat, prestasi keseluruhan kumpulan masih sukar dijangka dan peluang ke final masih terbuka untuk semua.
“Ada kumpulan yang kita jangka akan kelakar tapi tidak menjadi. Begitu juga sebaliknya. Setiap kumpulan ini bangkit di waktu yang berbeza.
“Kebangkitan inilah yang saya nak lihat. Tak kiralah daripada kumpulan mana pun. MLS telah membuktikan tak semestinya kumpulan yang punyai nama besar, mereka akan kelakar.
“Yang tiada nama pun boleh jadi kelakar ‘kaw-kaw’. Segalanya bergantung kepada usaha, strategi dan idea masing-masing,” katanya kepada MH.
Zizan menambah, ada juga beberapa kumpulan yang masih bergelut mencari idea dan sebagai juri, dia turut bertanggungjawab membimbing mereka agar dapat memberikan persembahan terbaik.
“Saya tiada kumpulan ‘favourite’. Yang kelakar itulah favourite saya. Kumpulan yang tidak kelakar pula akan menjadi tanggungjawab saya untuk buat mereka bangkit.
“Saya bukan bagi idea dari segi konten tapi lebih kepada cara mereka membuka minda untuk mencari idea.
“Sesiapa sahaja boleh bagi idea tapi jika mereka tak boleh bawa, tidak akan menjadi juga. Tapi kalau kita bagitahu cara nak cari dan kembangkan idea, mereka akan faham skill komedi itu,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun menerusi penilaian Zizan, kumpulan Nanas dan Roda dilihat paling konsisten sepanjang musim ini, namun mereka tetap tidak boleh selesa kerana kumpulan lain semakin agresif mencelah ke saat-saat akhir.
Buat masa ini, kumpulan yang konsisten adalah Nanas dan Roda. Kumpulan yang sedang mengejar dan mampu beri saingan adalah Kimbab.
“Kumpulan Lompat pula memang cepat belajar. Yang lain bukannya tak bagus tapi mereka hanya kekal di tahap yang sama. Dinamik mereka masih tak nampak lagi.
“Ada yang prestasi mereka naik tapi nanti turun semula. Kumpulan-kumpulan yang saya sebut tadi prestasi mereka memang melompat sampai ke siling,” kongsinya.
Dalam pada itu, Kumpulan Roda dilihat sebagai antara yang paling stabil musim ini, dipacu oleh kekuatan nama besar seperti Naqiu, Sharif dan Fad, dengan persembahan seimbang setiap minggu dengan punchline yang kena, susunan muzik kemas dan jalan cerita menarik.
Sementara itu, pelawak Achey memimpin kumpulan Nanas, bersama barisan pelawak baharu seperti Namie dan Shashic.
Pengalaman luas Achey sudah tentu menjadi senjata menjadikan Nanas antara pencabar utama.
Di sisi lain pula, kumpulan Kimbab yang dianggotai Zulin, Maryam dan Nasz Sally juga menampilkan warna berbeza.
Walaupun tidak kuat secara teknikal, namun mereka memikat hati ramai melalui personaliti, adaptasi tema kreatif dan komedi ringan namun tetap menghiburkan.
Adakah Nanas, Roda dan Kimbab akan terus kekal sebagai favourite, atau bakal dipintas oleh kejutan dari kumpulan lain pada saat akhir?
Jangan terlepas menyaksikan saingan separuh akhir Muzikal Lawak Supertar 5 secara langsung pada Sabtu ini, jam 9 malam di Astro Prima, Astro One dan sooka.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

Penyanyi dan pelakon, Fareez Fauzi meluahkan rasa syukur apabila muncul sebagai salah seorang pemenang dalam perlawanan tinju All Star Championship 2025 dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, baru-baru ini.
Menurut Fareez, rezeki kemenangan itu ialah hasil kerja keras dan latihan intensif selama hampir dua bulan.
“Pada hari itu, saya memang datang untuk menang. Saya berlatih dua kali ganda untuk pertarungan akhir tersebut. Saya buat banyak perkara yang saya tak pernah buat sebelum ini.
“Sebagai contoh, saya skipping selama 30 minit tanpa henti dan berlari enam kilometer bersama tayar. Itu yang membuatkan saya rasa lebih yakin untuk menang.
“Untuk pertarungan ini, saya ambil masa selama dua bulan untuk berlatih. Alhamdulillah, ada rezeki di situ,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon Fauzi Nawawi itu berkata demikian ketika ditemui di acara malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2025, baru-baru ini.
Fareez menambah, wang kemenangan itu akan digunakan untuk mengadakan majlis akikah buat kedua-dua anaknya.
“Perancangannya saya nak selesaikan perkara wajib dahulu seperti majlis akikah untuk kedua-dua anak saya,” kongsinya ringkas.
Dalam pada itu, Fareez turut memaklumkan dia tidak menolak untuk menyertai mana-mana pertarungan pada masa akan datang sekiranya tawaran yang diterima berbaloi.
“Insyaa-Allah jika risikonya berbaloi dengan bayaran yang bakal saya terima, mungkin saya akan terima tawaran-tawaran itu,” ujarnya.
Mengulas mengenai sokongan keluarga, Fareez mengakui ibunya agak risau apabila dia memutuskan untuk bertinju.
“Ibu saya pada mulanya tak sokong pun saya sertai pertarungan ini. Walaupun dia tidak terlalu menyokong namun, ibu tetap menitipkan doa.
“Setiap kali sebelum perlawanan, saya akan mesej dan hubungi ibu saya. Manakala isteri pula sokong sahaja keputusan saya ini. Namun, dia juga ada perasaan takut juga. Pada saya, itu normal,” katanya lagi.
Fareez turut berharap agar pencapaiannya dalam arena tinju ini dapat membuka peluang untuknya beraksi di layar perak.
“Ini juga salah satu strategi saya. Saya berusaha bina badan dan naikkan stamina.
“Mana tahu satu hari nanti para penerbit boleh nampak bakat saya untuk ambil saya berlakon di dalam filem aksi. Memang impian saya untuk berlakon filem aksi,” kongsinya lagi.
Pada majlis sama, selebriti dan pempengaruh dari Vietnam, Cindy atau Huỳnh Thị Diễm Mi, dinobatkan sebagai pemenang utama All Star Influencer Award (ASIA) 2025, menewaskan lebih 80 pempengaruh dari 20 negara.
Cindy membawa pulang hadiah bernilai 15,000 USD (RM63,690), trofi eksklusif dan pakej percutian mewah ke Dubai.
Di tempat kedua pula, pencipta kandungan Indonesia, Sheren Nat, membawa pulang 5,000 USD (RM21,120) bersama tiket penerbangan ke Dubai, manakala tempat ketiga dimenangi pempengaruh Kemboja, Rainne Dara, yang menerima 3,000 USD (RM12,672) dan tiket penerbangan sama.
Acara berprestij itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia, serta penaja utama Tune Talk dan Sunway Resort Hotel.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

