Berita

“Jatuh Bangun Barsama,” – Jalaluddin Hassan Kongsi Sifat Ramli MS Yang Ramai Tak Tahu, Tegas Tapi Penyayang

Share

Pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan akui dirinya tidak menyangka persembahannya di Kilauan Emas Selebriti (KES) bakal diadili oleh sahabat baiknya yang juga maestro muzik, Datuk Ramli MS seawal minggu kedua.

Menurut Jalaluddin, dia sebenarnya terpaksa mengubah perancangan awal persembahan bagi menunjukkan rasa rindu terhadap rakan baiknya yang popular menerusi program Projek Bapak Bapak.

“Saya tak sangka Tok Ram akan datang seawal ini. Ketika konsert minggu pertama, namanya disebut-sebut. Di minggu kedua ini, dia hadir sebagai juri.

“Ketika di akhir persembahan minggu pertama, saya berinteraksi bersama penonton. Di minggu kedua ini, Cikgu Syafie minta saya buat perkara yang sama.

“Pada mulanya, saya nak berinteraksi dengan Jihan. Bila Tok Ram yang datang, saya ubah perancangan itu.

“Kami memang merindui antara satu sama lain lebih-lebih lagi Roy Azman dan Jatt Ali. Kami bersama sudah lalui satu perjalanan yang sangat panjang. Jatuh dan bangun bersama,” katanya kepada MH.

Pelakon drama Kasih Yang Terkorban itu berkata sedemikian ketika ditemui di konsert minggu ke-2 KES, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Jalaluddin turut menyifatkan Ramli sebagai guru yang banyak memberikan tunjuk ajar tentang nyanyian dan persembahan.

“Sedikit sebanyak beliau memang merupakan guru saya. Dalam hidup saya ini, apa yang saya belajar dengan orang lain, maka, dialah guru saya. Saya akan hormat mereka seperti guru saya.

“Ketika kami menjalani penggambaran bersama di Romania, Tok Ram bukan sahaja mengajar saya menyanyi, dia juga mengajar Nasir Bilal Khan dan Roy Azman cara nyanyian yang betul.

“Tok Ram ini ada satu perangai pelik, bila kita menyanyi suka-suka, dia akan minta kita berhenti. Bila ada acara, dia akan minta kita menyanyi,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai sifat sahabatnya itu yang ramai mungkin tidak tahu, beliau menyifatkan Tok Ram sebagai seorang yang sangat mengambil berat tentang orang lain terutama ahli keluarganya.

“Beliau merupakan seorang yang sangat sensitif dan profesional. Kalau dia sayang sesuatu, dia akan sayang betul-betul seperti anaknya dan Datin Alyah.

“Di luaran nampak gayanya seperti tegas tapi dalam hatinya, dia sangat mengambil berat. Begitu juga layanannya dengan ahli keluarga sendiri.

“Bila kami pergi ke Singapura, cara layanannya terhadap adik beradik memang terbaik. Tok Ram adalah anak sulung. Mereka hidup susah dahulu. Bila berjumpa, mereka akan berpeluk,” ujarnya.

Dalam masa sama, Jalaluddin turut menyifatkan Tok Ram seorang yang sangat profesional terutamanya dalam soal keria.

“Bercakap tentang muzik, pemikirannya sangat tajam. Saya cemburu dengan kebolehannya.

“Saya juga ada terfikir, alangkah bagusnya kalau saya juga boleh bermain alat muzik. Tok Ram ada nasihatkan saya, elemen paling penting untuk bergelar penyanyi adalah deria.

“Bila ada tawaran kerja pula, dia akan uruskan buat kami. Pembahagian sentiasa adil. Tiada lebih dan kurang,” akhirinya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf