Meninggalkan jauh kontroversi pernah dikaitkan dengan dirinya sebelum ini, pelakon Idris Khan kini rancak merencana kerjaya seninya untuk menggerak impian menjadi yang terbaik dalam bidang diceburinya ini.

Bukan sekadar itu, pelakon yang dilahirkan di Libya ini turut menyusun strategi melebarkan sayap ke persada antarabangsa dengan mencari peluang-peluang baru untuk diterokai.

Atas keinginan itu jugalah, Idris buat keputusan ke kelas lakonan untuk menambah ilmu dan memperbaiki skill lakonannya kelak.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan ke New York atau London pada tahun depan untuk kursus pendek dalam bidang lakonan dalam usaha memperbaiki tahap lakonan saya.

 

“Walaupun sudah tiga tahun bergelar pelakon, jujurnya saya rasa masih banyak kekurangan dalam lakonan saya dan atas kesedaran itulah saya tekad mendalami ilmu lakonan.

 

“Saya juga nak buktikan yang saya serius dalam bidang ini dan menyimpan hasrat melebarkan bakat ke pasaran luar negara,” tegasnya yang turut meluahkan keinginan berguru dengan Ellie Suriaty.

Menolak anggapan mengatakan kebanyakan pelakon baru sepertinya lebih menjual rupa paras berbanding bakat, Idris sebolehnya mahu membuktikan dia tidak tergolong dalam golongan itu.

“Saya tak boleh nak halang orang nak cakap apa, tapi apa yang saya boleh buat adalah buktikan saya serius dan sentiasa bersungguh-sungguh dengan kerja saya.

 

“Saya tak mahu hanya terikat dengan watak hero yang sweet semata-mata, tetapi sentiasa cari ruang pelbagaikan watak termasuk melakonkan watak antagonis.

 

“Mungkin bunyinya agak cliché, tapi kenyataan yang semua orang tahu, populariti itu takkan ke mana pun. Bolehlah nak bertahan setahun dua tapi lepas itu ke mana?,” soalnya yang sebelum ini pernah tercalon Pelakon Antagonis Pilihan di DFKL.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Duda Terlajak Laris ini mengakui pernah suatu ketika, dia merasakan kerjaya seninya bakal berakhir apabila dikaitkan dengan kontroversi tidak dijangkakan itu.

IKLAN

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila produksi mahupun peminat tetap memberi kepercayaan kepadanya untuk terus ada dalam bidang seni sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah saya sangat menghargai apabila banyak produksi masih beri kepercayaan kepada saya untuk bekerja dengan mereka dan peminat pula setia sokong meskipun saya sedang berada di bawah.

 

“Saya bersangka baik dengan ujian yang datang itu kerana di sebalik impak negatif, ia juga beri banyak perkara positif kepada saya mula belajar untuk lebih peka dengan apa atau siapa yang ada di sekeliling saya.

 

“Apa yang berlaku itu, kita jadikan pengajaran terbaik untuk lebih berhati-hati kelak dan paling penting jangan salah pilih kawan sehingga boleh bawa kepada aura negatif,” luahnya jujur.

Lebih fokus

IKLAN

Melihat penerimaan itu sebagai peluang harus digunakan sebaiknya untuk kembali bina kerjaya, Idris mahu fokus dengan meletakkan komitmen seratus peratus terhadap tanggungjawab kerjanya.

Terbaru, Idris tampil sebagai hero drama 28 episod, Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin, bergandingan dengan pelakon baru, Raysha Rezrose yang kini mendapat sambutan hangat di TV3.

IKLAN

“Sejak hari pertama masuk set sehinggalah penggambaran berakhir dua tiga hari lepas, kami langsung tak fikirkan rating atau sambutan terhadap drama ini kerana fokus kami lebih kepada memberikan yang terbaik.

 

“Bila kerja dihargai begini, sebagai pelakon semestinya saya rasa lebih bersemangat untuk tampil dengan hasil kerja yang lebih bagus dan itulah cuba saya lakukan sedikit demi sedikit.

 

“Sepanjang Ogos ini, saya banyak luangkan masa saya dengan sesi meet & greet untuk mempromosikan drama ini sebelum ke lokasi penggambaran drama baru awal bulan depan,” ujarnya.

Buka produksi sendiri

Idris juga kini semakin aktif dengan kerja-kerja belakang tabir sebagai penerbit menerusi syarikat produksi, Centro Pictures diusahakan bersama rakan kongsi sejak setahun lalu.

“Kami baru mula dan semestinya banyak benda perlu digerakkan untuk cari peluang bagi mengetengahkan produk terbitan kami kelak.

 

“Setakat ini, kami dah pun tampil dengan dokumentari, Madness of Borneo dan filem pendek, Pagari Bulan yang juga wakil tunggal Malaysia di Festival Filem Antarabangsa Eurasia ke-12 yang di Almaty, Kazakhstan.

 

“Saya kira ia permulaan cukup baik sebelum kami tampil dengan beberapa lagi projek baru dalam penerbitan drama dan filem selepas ini,” ujarnya.

 

Teks oleh :  Wawann Mohd

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI