Berita

“Jangan Mudah Percaya,” – Dakwaan Tinggalkan Alpha Untuk Sambung Belajar Tidak Benar, Araff Mohon Peminat Usah Risau

Share

Anggota boy band Alpha, Araff menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya bakal meninggalkan kumpulan berkenaan bagi memberikan tumpuan untuk menyambung pengajian.

Menurut Araff, dia sendiri tidak pernah mengetahui mengenai spekulasi tersebut dan menganggap ia sekadar khabar angin yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu.

“Untuk menjawab persoalan tersebut, ia tidak benar. Pada saya, dakwaan tersebut mungkin hanyalah sebuah propaganda. Saya sendiri tidak pernah membaca hantaran tersebut.

“Saya pun tak tahu bila timbul dakwaan seperti ini. Setakat ini, hubungan saya bersama anggota Alpha yang lain masih lagi baik. Jadi, anda semua janganlah risau.

“Jangan mudah percaya dengan apa yang orang katakan. Itu semua hanyalah khabar angin. Alhamdulillah fokus saya masih bersama Alpha,” katanyanya kepada MH.

Araff berkata sedemikian ketika ditemui di acara sidang media Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), baru-baru ini.

Jelas Araff lagi, dia tidak marah dengan dakwaan tersebut kerana menyifatkan ia merupakan lumrah sebagai anak seni.

“Saya tidak marah atau sedih. Saya pun baru sahaja dapat tahu tentang hal ini. Jadi, saya pun terkejut. Namun, ini adalah isu biasa yang memang akan wujud dalam kalangan kita,” kongsinya lagi.

Alpha Teruja Menjelang Konsert Sulung

Sementara itu, seorang lagi anggota Alpha, Daniel Sher menyifatkan dakwaan tersebut sememangnya tidak masuk akal kerana ketika ini, mereka sangat teruja menjelang konsert sulung The First Wave yang bakal berlangsung pada 26 September ini.

“Kami akan mengadakan konsert solo tidak lama lagi. Jadi, inilah respon saya. Walaupun kami hadir daripada pelbagai latar belakang namun, kami bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.

“Ketika ini, memang tiada isu diantara kami. Kami sedang menikmati perjalanan ini. Jika ada apa sahaja tawaran atau sesi latihan, kami sentiasa teruja.

“Tiada seorang pun diantara kami yang ada pemikiran untuk meninggalkan kumpulan. Kami semua tidak sabar untuk mengadakan konsert sulung kami,” katanya.

Dalam masa sama, Ariel Fesol pula merasakan percanggahan pendapat merupakan perkara biasa di dalam kumpulan namun, tiada seorang pun yang pernah terdetik untuk menarik diri.

“Pada saya, dakwaan seperti ini adalah normal kerana ketika ini, Alpha sedang berada di dalam limelight dan menjadi perhatian. Bila ramai yang melihat, pasti akan timbul apa sahaja spekulasi.

“Mereka tidak kenal pun kami secara peribadi. Sepanjang setahun lebih bersama Alpha, bukanlah nak kata yang kami ini tiada masalah langsung tapi untuk meninggalkan kumpulan, tiada seorang pun nak buat sebegitu.

“‘Kenderaan’ kita berjalan menggunakan tujuh pemandu. Jika kurang satu pemandu, ia akan memabataskan perjalanan kita,” akhirinya.

Baru-baru ini, tular satu hantaran di Treads daripada seorang individu yang mendedahkan Araff bakal meninggalkan kumpulan tersebut demi menyambung pengajian.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf