Berita

“Jangan Menghakimi, Setiap Orang Ada Perjalanannya,” – Vanidah Imran Mohon Doa, Usaha Ubah Diri Ke Arah Lebih Baik

Share

Pelakon Vanidah Imran mengakui dirinya kini semakin selesa mengenakan hijab dan sedang berusaha untuk berhijab sepenuhnya.

Memetik laporan Harian Metro, Vanidah berkata hasrat untuk melakukan perubahan tersebut sebenarnya sudah lama terdetik di hati.

Bagaimanapun, dia menyedari proses penghijrahan memerlukan usaha yang berterusan selain doa agar terus kekal istiqamah.

“Doakan saya kerana perkara (berhijab) itu pasti berlaku. Itu usaha saya. Doa dan meminta sahaja tanpa usaha tidak akan berjalan.

“Jadi, kita mulakan perlahan-perlahan,” katanya seperti yang dipetik.

Perubahan Dilakukan Secara Berperingkat

Menurut pelakon filem Mami Jarum itu, perubahan yang dilakukannya berjalan secara perlahan-lahan mengikut keselesaan dan kemampuan diri.

“Dah lama dah (mencuba). Sebab itu kadang-kadang awak tengok Instagram (IG) saya, sekejap saya pakai, sekejap tak.

“Sebab kita mencari. Istiqamah itu bukan mudah. Jadi kita latih diri,” katanya lagi.

Vanidah turut menjelaskan perjalanan untuk menjadi lebih baik bukan sesuatu yang mudah, namun dia tetap berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Mahu Dekatkan Diri Kepada Allah SWT

Dalam masa sama, Vanidah berharap usaha yang dilakukan dapat membawanya menjadi insan yang lebih baik serta lebih dekat dengan Allah SWT.

“Tapi kita usaha. Teruskan usaha, semoga berjaya, insya-Allah. Saya kena perbaiki diri saya, solat saya, semua itu saya perlu (perbaiki) dulu.

“Itu ujian masing-masing, ada hikmah. Kita jangan judge (hukum) orang. (Setiap orang) ada perjalanan dia,” ujarnya lagi.

Terdahulu, penampilan terkini Vanidah mencuri perhatian ramai selepas dia dilihat semakin kerap memuat naik foto mengenakan hijab di Instagram.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa gembira dan mendoakan agar pelakon itu terus diberikan kekuatan untuk kekal istiqamah dalam perjalanan penghijrahannya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf