
Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam mengakui bimbang untuk menjayakan watak yang berpotensi mengundang salah faham dalam kalangan penonton.
Menurut Izzue, kerisauannya lebih kepada risiko watak tersebut disalah tafsir sehingga boleh menimbulkan fitnah dan kontroversi terhadap dirinya.
“Risau juga. Saya takut perkara itu boleh menjadi fitnah dan saya terpalit dengan kontroversi.
“Kita juga tidak boleh menilai orang, kerana mereka hanya menonton daripada klip pendek yang memang boleh menimbulkan kemarahan,” katanya kepada MH.
Izzue berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama berjudul Sekali Lagi Bahagia yang berlangsung di A Quiet Place, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon filem Mat Tudung tersebut menjelaskan setiap naskhah yang diterimanya akan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan ia selari dengan prinsip yang dipegangnya.
“Saya percaya setiap naskhah yang saya lakukan, saya akan periksa terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, setakat ini pihak produksi juga peka dengan kemahuan saya,” ujarnya.
Tambah Izzue, dia juga mempunyai batas tertentu dalam lakonan, khususnya apabila melibatkan sentuhan dengan pelakon wanita.
“Mereka tahu apabila saya berlakon, saya memang tidak bersentuhan. Sudah ada ‘border’ di situ.
“Untuk pergi lebih daripada itu, saya memang tahu saya tidak akan melakukannya dan orang pun sudah faham cara lakonan saya,” jelasnya.
Bagaimanapun, pelakon drama Sebenarnya Saya Isteri Dia itu tidak menolak untuk menerima watak mencabar yang mampu menimbulkan emosi penonton.
“Kalau diberi watak yang berlebihan atau boleh membuatkan penonton marah, saya bersedia untuk menerimanya.
“Namun, ia perlu dalam keadaan yang masih ada batas dan pada saya itu adalah cabaran.
“Kalau saya berjaya buat penonton marah dan percaya dengan watak yang saya bawakan, itu adalah sesuatu yang baik.
“Sebab saya tahu bagaimana saya berlakon, tetap menjaga batas, tetapi penonton menganggap ianya nyata,” katanya.
Sementara itu, Izzue turut mendedahkan pengalamannya menjayakan babak yang memerlukan interaksi rapat dengan pelakon wanita.
“Saya pernah berlakon dalam satu babak yang memerlukan saya memeluk pelakon wanita.
“Ia kelihatan seperti saya yang memeluk, tetapi sebenarnya tidak.
“Pada saya, kita sentiasa ada jalan untuk mewujudkan babak seperti itu mengikut kreativiti masing-masing.
“Saya tiada masalah untuk melakukannya, kerana kita boleh bereksperimen di set,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.