Izreen Azminda Kerja Keras Kumpul Duit

Pelakon Izreen Azminda, mengakui kini jarang muncul di majlis-majlis hiburan kerana terlalu sibuk dengan jadual kerja yang agak padat mengisi rutin hariannya.

Tumpuan diberikan seratus peratus kepada kerja kerana menyedari dirinya perlu bekerja keras untuk mencari pendapatan yang cukup bagi menyara kehidupannya sebagai ibu tunggal kepada anaknya, Muhammad Adrian Umar, 4.

“Dulu saya berlakon tanpa sebarang tekanan kerana minat mendahului segala-galanya, namun situasi sekarang menjadi berbeza apabila saya perlu bekerja keras untuk memastikan pendapatan bulanan saya mencukupi untuk menyara anak dan keluarga.

 

“Jadi saya sangat menghargai setiap peluang yang datang dengan melakukan kerja dengan sehabis baik agar tidak mengecewakan pihak produksi dan juga penonton yang menyokong kerjaya selama ini,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem, Mahram sempena sambutan Aidiladha nanti.

Biarpun begitu, Izreen turut memberitahu, ada ketika dia terpaksa menolak beberapa tawaran kerana naskhah yang diberikan tidak sesuai dengannya selain masalah komitmennya untuk bekerja di luar Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, setakat ini tawaran berlakon masih menyebelahi saya secara konsisten dalam usaha saya meneruskan kesinambungan kerjaya lakonan.

 

“Namun kadang-kala ada di antaranya yang terpaksa saya tolak kerana skrip yang tidak sesuai termasuk beberapa sebab lain yang tidak dapat dielakkan demi menjaga kualiti kerja saya,” katanya.

Selain tanggungjawab kepada anak yang berada di bawah jagaannya selepas berpisah dengan bekas suami, Izreen juga kini menjaga ibunya yang sedang sakit semenjak beberapa tahun lalu.

IKLAN

“Kehidupan saya sekarang sangat struggle berbanding dulu kerana perlu menggalas tanggungjawab untuk menjaga anak, ibu dan diri saya sendiri juga yang kadang-kala tidak terurus.

“Dulu, ibu akan menjaga anak ketika saya keluar bekerja dan situasi itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya, namun semenjak dia sakit saya kena uruskan semuanya sendiri termasuk menjaga ibu.

 

“Disebabkan keadaan itu jugalah saya tidak akan mengambil tawaran berlakon yang memerlukan saya bekerja di luar Lembah Klang kerana tidak boleh meninggalkan mereka di rumah lama-lama, ” terang Izreen.

Bagaimanapun, Izreen yang cukup dikenali sebagai seorang yang ceria ini tidak pernah pernah menganggap apa yang dilaluinya itu sebagai satu bebanan buatnya.

“Tipulah kalau saya kata kehidupan saya berjalan lancar setiap hari kerana ada ketika saya juga merasa tertekan bila banyak benda yang perlu saya uruskan sendiri.

 

“Namun saya sentiasa positifkan diri, malah menganggap inilah pengorbanan saya untuk orang yang saya sayang kerana mereka sahajalah harta yang saya ada hari ini,” tegasnya.

Ketika ditemui di majlis pelancaran produk Poora yang menyaksikan dirinya dilantik sebagai duta produk penjagaan untuk wanita baru-baru ini, Izreen turut ditegur berhubung berat badannya yang kelihatan agak susut berbanding sebelumnya.

Menolak anggapan yang mengatakan dia mengamalkan diet atau melakukan senaman tertentu untuk kelihatan kurus demi kecantikan, Izreen berterus-terang bahawa dia pada mulanya tidak menyedari berat badannya semakin susut.

IKLAN

“Sebenarnya saya tak perasaan sangat pun yang saya dah makin kurus, tapi bila ramai yang tegur kata berat saya dah susut, barulah saya sedar yang berat saya sekarang hanyalah 50kg dan kehilangan 5kg berbanding sebelumnya.

 

“Saya kurus bukan sebab diet atau apa-apa yang dilakukan dengan sengaja, sebaliknya ia berlaku kerana saya terlalu sibuk dengan kerja di mana saya bekerja tanpa henti semenjak awal tahun tempohari.

 

“Bayangkan saya keluar pagi dan balik pagi hampir setiap hari selama beberapa bulan tanpa henti menyebabkan saya tidak cukup tidur dan rehat selain waktu yang tidak menentu,” jelasnya yang kini dalam usaha untuk kembali menambah berat badannya kepada yang asal.

Izreen yang bakal memulakan penggambaran drama 13 episod terbaru lakonannya sekitar Ogos depan mengharapkan agar dia dapat menguruskan masa dan jadualnya dengan sebaik yang mungkin agar kesibukannya tidak sampai menjejaskan kesihatan diri dan orang-orang di sekelilingnya.

“Memang fokus saya nak cari duit dan membina kerjaya dengan sebaik yang mungkin, tetapi dalam masa yang saya tidak mahulah sampai mengabaikan keluarga sendiri terutamanya anak yang mungkin sampai satu tahap tidak mahu dengan saya kerana kesibukan saya pada kerja.

 

“Alhamdulillah, selain berlakon saya juga mendapat tawaran menjadi duta beberapa duta produk dan waktu inilah saya mempunyai kesempatan untuk mencuri sedikit masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga kerana tidak perlu ke lokasi penggambaran.

 

“Malah, jika segala perancangan berjalan lancar saya juga bakal tampil dengan sebuah produk sendiri tidak lama lagi, namun buat masa ini saya belum dapat berkongsi lebih lanjut tentangnya kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu,” ceritanya.

Menyentuh tentang status dirinya yang sudah lebih empat tahun hidup solo, kata Izreen, buat masa ini dia tidak mahu memikirkan soal menjadi pengganti.

“Buat masa ini fokus nak cari duit untuk besarkan anak dan tidak mahu lagi terjebak dengan benda-benda yang boleh menambah beban dan mengganggu tumpuan saya pada kerja dan keluarga.

 

“Tapi kalau ada jodoh saya tidak menolak, cuma berharap agar yang datang itu boleh menerima saya dan anak seadanya, malah dalam masa yang sama dapat meringankan beban yang saya tanggung sekarang,” ujarnya jujur.