Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memanjatkan rasa syukur apabila sekali lagi tersenarai dalam ‘The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims’ bagi edisi 2025.
Difahamkan penyanyi lagu Sehebat Matahari itu sudah 10 tahun berturut-turut mengekalkan kedudukannya dalam senarai Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia itu bagi kategori seni dan budaya sejak tahun 2016.
Menurut Siti, pengiktirafan ini juga merupakan satu amanah buat dirinya untuk terus mengharumkan nama baik agama seterusnya menjadi pemangkin semangat untuk terus menjalankan usaha amal bersama Yayasan Nurjiwa.
“Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan terharu untuk tersenarai dalam Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia. Itu satu penghargaan atas apa yang saya lakukan untuk agama juga.
“Walaupun kategori itu untuk anak seni tapi itu juga bersangkut paut dengan Yayasan Nurjiwa yang saya dan suami teah usahakan sehabis baik untuk mereka di Gaza, Palestin.
“Rakyat Malaysia juga yang terkesan dengan bencana alam. Saya lebih memikirkan ke arah itu,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Cindai itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert The Journey of Sound: Judika x Datuk Seri Siti Nurhaliza, di St Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah Siti, dengan yang pengiktirafan ini, dia lebih bersemangat memikul tanggungjawabnya untuk terus membantu menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dan memerlukan.
“Saya ada tanggungjawab dan masih ada anak angkat di sana. Malah, pasukan yayasan kami juga sedang gigih untuk agihkan bantuan.
“Saya selalu berdoa pasukan saya terselamat dari apa-apa yang berlaku di sana supaya kami dapat terus menyalurkan bantuan kepada mereka,” jelasnya.
Berdasarkan catatan buku yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan itu, Siti turut tersenarai bersama individu berpengaruh seluruh dunia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain Siti, penyanyi, Hafiz Hamidun turut tersenarai dalam pengiktirafan tersebut bagi kategori yang sama untuk mewakili negara Malaysia.
Terdahulu, Siti dan Judika bakal bergabung menghiburkan peminat tempatan di konsert The Journey of Sound yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 14 Disember ini.
Tiket bakal dijual bermula pada harga RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER / UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), RM 1,299 (SUPER VIP).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI