
Pelakon dan usahawan, Ben Ali tampil memberikan penjelasan berhubung isu tular yang melibatkan syarikatnya, Absolut Events & Management, selepas didakwa tidak memulangkan wang milik vendor susulan pembatalan sebuah acara yang sepatutnya berlangsung pada 2024.
Menurut Ben, situasi tersebut tercetus apabila terdapat vendor yang didakwa memilih untuk tidak menerima pemulangan wang, sebaliknya memohon tapak perniagaan bagi acara seterusnya.
Namun begitu, ada di antara mereka yang meluahkan rasa kecewa apabila permohonan tidak berjaya, sebelum menyuarakan hal berkenaan di media sosial.

“Ini merupakan isu lama. Sebelum ini, kita ada satu acara festival tapi tidak jadi untuk dilaksanakan pada 2024. Pada 2025, kita beri pilihan kepada vendor untuk pemulangan duit tapak.
“Ramai vendor yang sudah menerima wang tersebut dan ada segelintir yang masih belum menerima kerana ketika itu berlakunya perubahan pentadbiran. Jadi, ada data yang hilang.
“Dalam masa sama, ada juga vendor yang memilih untuk tidak mahu wang mereka dipulangkan dan mereka memilih untuk mendapatkan lot reruai di MITEC pada tahun berikutnya.
“Kami maklumkan kepada mereka, kalau nak lot, kena tunggu. Untuk permohonan di MITEC ini, kita ada proses pemilihan. Bila ada peniaga yang tak diterima, mereka rasa terkilan. Jadi, mereka mahu wang mereka dipulangkan,” katanya kepada MH.
Ben berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Tambahnya lagi, isu berkenaan telah diselesaikan secara baik bersama vendor terlibat dalam tempoh yang singkat.

“Kepada vendor tersebut, saya sudah berhubung secara peribadi. Malah, bila dia memuat naik posting berkenaan isu itu di media sosial, saya sendiri membalas di ruangan komen.
“Kami bukan sejenis yang lari daripada masalah. Saya berjaya menghubungi vendor tersebut. Katanya dia tiada masalah dengan kami cuma dia nak masuk berniaga di MITEC.
“Daripada pihak kami pula, kami akui ada kalanya berlaku sedikit masalah. Namun, isu ini sudah selesai. Kita selesaikan dalam masa satu jam sahaja.
“Pada kami, jika berlakunya sesuatu isu, kita kena selesaikannya secepat mungkin,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, seorang peniaga meluahkan kekecewaan apabila proses pemulangan wang tapak didakwa berlarutan sehingga setahun.
Perkara tersebut kemudiannya tular sehingga mendorong netizen menuntut penjelasan daripada Ben dan rakan pengasasnya.
Komitmen Jaga Nama Baik
Sementara itu, pengasas bersama Absolut Bazaar yang juga pelakon, Nadiyah Shahab menegaskan, pihak mereka sentiasa bertanggungjawab dan tidak pernah mengelak sekiranya timbul sebarang isu melibatkan vendor.

“Kami pasti nak menjaga nama baik kami. Kami masih lagi di sini dan tak pernah pergi mana-mana. Acara-acara yang kami anjurkan masih lagi wujud.
“Kami tak tutup dan terus menghilang,” katanya.
Dalam pada itu, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya dijadualkan berlangsung di empat lokasi terpilih iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Brunei dan Singapura.
Kemuncak penganjuran Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya bakal berlangsung selama 66 jam tanpa henti di MITEC, Kuala Lumpur bermula 13 Mac hingga 16 Mac ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




