Industri perfileman Thailand sekali lagi mencuri perhatian peminat filem tempatan dengan karya yang mengetengahkan elemen Islamik, namun kali ini melalui pendekatan berbeza iaitu genre komedi romantik.

Setelah kejayaan filem seram Khong Khaek pada tahun lalu, Monwichit Entertainment kembali dengan naskhah baharu berjudul Isan Nikah, sebuah filem yang bukan sahaja lucu tetapi turut menyentuh tema yang jarang dipaparkan menerusi cabaran perkahwinan campur antara dua agama dan budaya.

Isan Nikah merupakan karya terbaharu terbitan Monwichit Entertainment, hasil sentuhan pengarah Kriangkrai Monwichit.

Filem ini membawakan tema perkahwinan antara seorang gadis Muslim dan seorang jejaka Buddha yang kemudian memeluk Islam demi cinta.

Namun, kisah cinta ini tidak semudah yang disangka apabila perkahwinan mereka cuba digagalkan oleh abang si gadis.

“Isan Nikah adalah sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton apabila menampilkan kisah perkahwinan membabitkan perbezaan agama serta budaya, lalu diolah untuk menjadi sebuah kisah komedi yang lucu dan mencuit hati.

“Selain itu, saya turut mengetengahkan kehidupan di kampung halaman sendiri yang mencerminkan budaya masyarakat tempatan di selatan Thailand, termasuk sejarah, tempat pelancongan, makanan dan bahasa,” ujar Kriangkrai Monwichit.

Ads

Filem ini menyentuh tema yang mendalam namun dibalut dengan elemen komedi yang ringan dan menghiburkan.

Ia memaparkan konflik emosi, pertembungan budaya, serta kekeluargaan yang menjadi latar kepada hubungan dua insan berlainan agama yang ingin bersatu.

‘Isan Nikah’ Jadi Filem Komedi Cinta Islamik Paling Lucu! ‘Isan Nikah’ Jadi Filem Komedi Cinta Islamik Paling Lucu! ‘Isan Nikah’ Jadi Filem Komedi Cinta Islamik Paling Lucu! ‘Isan Nikah’ Jadi Filem Komedi Cinta Islamik Paling Lucu!

Tayangan di Malaysia

Dibintangi barisan pelakon popular Thailand seperti Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn, Adull Borsu dan influencer terkenal Amadkuciasree Doloh @ Chalee, Isan Nikah bakal menemui penonton Malaysia bermula 17 Julai ini.

Ads

Filem ini diedarkan oleh Empire Film Solution Sdn. Bhd. untuk pasaran tempatan.

Pengarah Urusan Empire Film Solution, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, filem ini dipilih kerana kelainan naskhahnya yang menggabungkan komedi dan nilai-nilai Islamik.

“Selama ini penonton di Malaysia sudah selalu disajikan dengan dengan filem-filem bergenre seram dari Thailand dan sudah tiba masanya untuk filem bercorak komedi dan Islamik menjadi tontonan.

“Namun, Isan Nikah ini kami lihat ia sebuah filem yang menarik untuk ditonton, selain sarat dengan komedi yang menghiburkan, ia mengetengahkan tentang budaya dan kehidupan masyarakat Muslim di selatan Thailand yang jarang dipaparkan dalam sesebuah naskhah,” katanya.

Ads

Zubir turut menyatakan harapan agar filem ini mendapat sambutan hangat dan membuka lebih banyak peluang untuk karya serupa menembusi pasaran filem Malaysia pada masa hadapan.

Kisah Cinta Sophia & Bak Kai

Isan Nikah mengangkat kisah cinta antara Sophia, seorang gadis Muslim dari Pattani (lakonan Kamonporn Sangwatcharasoontorn), dan Bak Kai (Nattawut Sanyabut), seorang pemuda Buddha dari Isan yang kemudiannya memeluk Islam demi mengahwini kekasihnya.

Namun, rancangan perkahwinan mereka ditentang oleh abang Sophia, Bang Lee (lakonan Amadkuciasree Doloh), yang menentang hebat disebabkan trauma ditinggalkan oleh ibu mereka yang berkahwin dengan lelaki dari Isan.

Penentangan Bang Lee mencetus pelbagai insiden lucu dan mencabar yang menjadi nadi komedi filem ini.

Isan Nikah pastinya menjanjikan bukan sahaja hiburan, tetapi juga refleksi budaya dan hubungan lintas agama yang disampaikan dalam bentuk santai dan menyenangkan.

Ia adalah naskhah yang wajar ditonton, khususnya oleh mereka yang mencari kelainan dalam karya Islamik dan komedi dari luar negara.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI