
Selepas hampir lapan tahun menunggu, penyanyi Irene Catalina akhirnya kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Mau Apa Lagi’.
Walaupun mengambil tempoh yang agak panjang, Irene tidak pernah patah semangat dalam mengejar impian di dunia nyanyian.

Menurut Irene, selepas melancarkan single ‘Ajari Aku’ pada tahun 2017, fokus utamanya pada ketika itu terarah kepada dunia perniagaan serta pengurusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya ambil masa selama lapan tahun untuk kembali melancarkan single terbaharu kerana saya sangat sibuk dengan bisnes.
“Saya juga terlibat dalam bidang pengurusan majlis dan pemasaran.
“Selain itu, Saya juga memegang jawatan Pengerusi Persatuan Usahawan Wanita & Kemanusiaan. Saya bukanlah menghilang. Cuma tak keluarkan lagu baharu sahaja.
“Ketika ini, saya baru ada waktu yang sesuai untuk kembali mengejar impian untuk melancarkan single terbaharu ini,” katanya kepada MH.
Irene ditemui ketika showcase dan pelancaran single Mau Apa Lagi di Drum Asia Studio, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Genre Pop Dance Jadi Pilihan & Tekanan Dunia Persaingan
Ditanya mengapa memilih genre pop dance, Irene memaklumkan ia adalah impian yang sudah lama tersimpan sejak zaman aktif bersama kumpulan wanita Angels.

“Pop Dance ini menjadi antara genre yang memang sudah lama ingin saya hasilkan sejak bersama kumpulan Angels lagi.
“Ketika itu, kami hanya ikut sahaja kehendak syarikat rakaman.
“Mereka berikan kami lagu-lagu pop kreatif seperti balada dan rock. Dahulu, pencipta lagu-lagu kami kebanyakkannya adalah rockers.
“Pop Kreatif itu bukan jiwa kami yang sebenar. Sebab itulah saya pilih genre Pop Dance untuk lagu Mau Apa Lagi ini,” ulasnya.
Dalam pada itu, Irene juga tidak menafikan cabaran untuk bersaing dengan bakat-bakat muda di industri muzik kini.

Namun atas keyakinan dan sokongan daripada syarikat rakaman, 78 Empire Record menjadi suntikan semangat buat dirinya.
“Saya akui memang ada sedikit tekanan bila harus memikirkan mengenai persaingan dengan penyanyi-penyanyi muda.
“Usia saya pun bukanlah muda lagi. Generasi muda ini mereka lebih havoc lebih-lebih lagi di era media sosial ini. Mereka juga punyai jumlah pengikut yang ramai. Agak sukar untuk bersaing.
“Tapi saya bersyukut sebab syarikat rakaman sentiasa berikan sokongan dan percaya saya juga punyai kualiti untuk berkarya.
“Mereka yakinkan saya untuk terus mencuba. Jadi, saya ikutkan sahaja,” kongsinya lagi.
Malah ketika menjayakan showcase tersebut, Irene akui sebak melihat kehadiran peminat yang selama ini mengikuti perjalanan kariernya.

“Mereka merupakan antara peminat-peminat lama dan pengikut saya di Tik Tok. Bila mereka datang, saya jadi sangat terharu.
“Rupanya masih ada lagi orang-orang yang menyokong saya seperti dulu-dulu. Kini, saya rasa makin bersemangat untuk kembali aktif di dalam dunia seni,” akhirinya.
Sebelum ini, Mau Apa Lagi mendapat sentuhan penulis lagu dan komposer, Bendittho, dan kini lirik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube, 78 Empire Record.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




