Berita

“Inilah Masanya Untuk Beri Yang Terbaik, Saya Kena All Out,” – A. Aida Labur Ribuan Ringgit Di TTMM2 Demi Azeva, Pernah Berhabis RM15,000 Seminggu

Share

Dikatakan memiliki kelebihan dari segi kewangan, penerbit terkenal A. Aida mengakui dirinya sanggup mengeluarkan belanja besar demi memastikan persembahan anaknya, Azeva dalam program Talk To My Manager (TTMM2) tampil baik dalam saingan setiap minggu.

Menurut A. Aida yang sudah tiga minggu berturut-turut dinobatkan sebagai Manager Paling Perform di TTMM2, dia juga tidak peduli akan kritikan berbaur toksik.

“Saya tak kisah apa orang nak kata. Saya sanggup berbelanja besar di TTMM2 kerana saya mahu berikan yang terbaik.

“Saya masuk ke program ini kerana anak saya sudah memaklumkan mengenai hasratnya untuk aktif menyanyi. Bila dapat peluang, inilah masanya untuk saya berikan yang terbaik. Saya kena all out,” katanya kepada MH.

A. Aida Belanja Lebih RM15,000 Demi Persembahan Berkualiti

Jelas pemilik rumah produksi A Aida Production Sdn Bhd itu lagi, dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan hingga ada mencecah lebih RM15,000 seminggu bagi memastikan persembahan Azeva tampil berkualiti dan memenuhi standard yang diinginkan.

“Saya menitikberatkan aspek pemakaian, dandanan rambut, penari, prop dan macam-macam hal lagi. Saya mengaku yang saya memang berbelanja besar buat Azeva. Orang nak kata apapun, katalah.

“Dari segi penari, memang Astro yang sediakan. Tiga penari lelaki dan tiga perempuan. Namun minggu ini, saya mahu kesemuanya penari perempuan.

“Jadi, saya kena bayar lebih. Saya tak kisah. Janji aspek ‘look and feel’ itu sesuai dengan tema persembahan anak saya.

“Dari segi muzik pula, saya sanggup bayar penggubah muzik. Kalau orang nak kata saya kaya, alhamdulillah,” ujarnya lagi.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/dia-bapa-kenalah-sokong-anak-a-aida-10-tahun-pujuk-azeva-masuk-industri-seni-terbuka-kerjasama-dengan-ameng/

Anggap Sebagai Pelaburan Masa Depan Azeva

Dalam pada itu, A. Aida menyifatkan segala usaha dan perbelanjaan yang dilakukan sebagai satu pelaburan untuk membuka laluan buat Azeva melangkah lebih jauh dalam dunia seni.

“Untuk rancangan seperti ini, kita memang kena berbelanja besar. Lagipun, ini untuk anak saya juga. Nak jadi penghibur bukan mudah.

“Bila sudah diberikan platform seperti ini, kita kena sahut cabaran dan buat yang terbaik,” katanya lagi.

Pada masa sama, A. Aida turut memuji komitmen kelab peminat, Azevastars yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan undian buat Azeva setiap minggu.

“Selain kewangan, sokongan kuat fans club juga memainkan peranan. Semangat fans club kami ini memang luar biasa. Admin kelab ini juga sangat berdedikasi.

“Azevastars ada lebih seribu orang yang menunggu giliran untuk masuk. Ketika ini, kita ada 300 orang. Admin grup ini sangat teliti. Jika ada yang tidak aktif, dia akan keluarkan.

“Mereka inilah yang memberikan kemenangan kepada saya dan Azeva. Saya tahu anak saya punyai ramai peminat. Sekali dia live di Tik Tok, tontonannya mesti ramai. Syukur alhamdulillah,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf