Kumpulan Jakel menerusi Jakel Tekstil menghulurkan sumbangan berjumlah RM300,000 bersama-sama jenama tudung Ariani yang menambah RM200,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM500,000 kepada Tabung Viva Palestina, Malaysia.
Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Pengasas Viva Palestina Malaysia, Puan Sri Norma Hakim, di dalam satu acara rasmi baru-baru ini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, inisiatif ini adalah satu pernyataan kebersamaan dan solidariti kami untuk saudara Islam di Gaza.
Malah, melalui suatu usaha kolektif melalui Kerajaan Malaysia, Kumpulan Jakel turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar.
“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan sokongan berterusan kami kepada usaha kemanusiaan di Palestin tetapi juga berfungsi sebagai peringatan mendalam bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tetap kukuh dan tidak berbelah bagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tidak dinafikan, kemelut perang yang berlaku menyebabkan keadaan semakin mendesak apabila serangan turut disasarkan terhadap kemudahan awam seperti hospital, sekolah, masjid, dan gereja yang sekaligus melanggar undang-undang peperangan antarabangsa.
Banyak nyawa telah terkorban syahid dan cedera, dan dengan hospital yang dibom, yang secara langsung menyebabkan bantuan perubatan juga menjadi sukar.
Dalam menghadapi tragedi tersebut, situasi di Gaza telah mengundang perhatian antarabangsa.
Banyak negara telah tampil untuk membantu rakyat Palestin yang menghadapi kesukaran bekalan asas seperti air, elektrik, makanan, dan perubatan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon terkenal, Scha Al-Yahya enggan mempedulikan tanggapan segelintir pihak yang kurang senang dengan kelantangannya untuk menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin di media sosial.
Menurut Scha, sebagai seorang yang beragama Islam, dia harus memanfaatkan pengaruhnya untuk membangkitkan kesedaran dan mengecam tindakan pihak Israel.
“Saya tahu ada sesetengah pihak yang menganggap hal ini sebagai isu yang sangat sensitif. Namun, sebagai rakyat Malaysia dan beragama Islam. Pegangan kita kuat.
“Kalau ada pihak lain yang tidak senang dengan kelantangan saya, itu masalah mereka.
“Sebagai rakyat di negara muslim, kenapa saya nak kena takut dengan suara-suara pihak luar yang mengkritik tindakkan saya itu,” katanya kepada MH.
Isteri kepada pengacara terkenal, Awal Ashaari itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Hero Dewi Remaja 2023 yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Pada masa sama, Scha turut memaklumkan dirinya lebih selesa menunjukkan sokongan dengan cara yang tegas tetapi tidak biadap.
“Saya memang ada banyak berkerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa yang kita pun tahu mereka di pihak mana.
“Namun, bagaimana cara kita menyatakan sokongan juga sangat penting. Kita boleh menunjukkan sokongan tapi jangan pula kita menghentam orang lain dengan bahasa yang kasar atau malampau.
“Kita kena tahu bagaimana untuk menyusun kata. Memang ada pihak yang akan mempersoal adakah tindakan kita ini boleh membuat perubahan.
“Memang boleh. Kalau semua bersuara, kita boleh menjadi satu kumpulan yang sangat kuat. Buat sahaja apa yang kita rasa betul,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, ibu kepada dua orang cahaya mata ini tetap faham ada sesetengah jenama antarabangsa yang terpaksa meneruskan kempen promosi kerana ingin mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Ada jenama yang tahu isu ini sensitif dan ada juga yang mungkin terlupa. Ada diantara mereka yang tetap memberikan tarikh untuk saya memuat naik posting di media sosial.
“Jadi, saya bagitahu mereka yang ketika ini, saya kurang selesa dengan apa yang sedang terjadi. Saya cadangkan untuk memilih waktu yang lebih sesuai.
“Sangat penting untuk saya berkomunikasi dengan wakil mereka. Mereka sebenarnya faham situasi itu. Kita kena bijak dan jangan ikut sahaja apa yang mereka mahukan. Kena fikirkan juga kesannya.
“Mereka juga ada jemput untuk menghadiri majlis tetapi saya tolak dengan baik. Mereka sebenarnya bukan tak sensitif tetapi mereka sudah punyai jadual yang perlu diikut. Sebagai selebriti, kita ada pilihan,” akhirinya.
Terdahulu, Scha telah diperkenalkan selaku hos merangkap mentor dan juri Hero Dewi Remaja 2023.
Rakaman program ini akan bersiaran selama tujuh episod setiap Jumaat bermula 10 November ini jam 10 malam menerusi saluran Astro Ria dan Astro Go.
Manakala episod kemuncak minggu ke-8 pula bakal bersiaran secara langsung pada 30 Disember depan.
Pengajuran pencarian bakat Hero Dewi Remaja 2023 ini merupakan sebuah lagi kerjasama strategik di antara Astro menerusi saluran Astro Ria dan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Bakal menganjurkan Konsert Galau buat pertama kalinya di Singapura, penyanyi yang juga Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid menyifatkan penganjuran konsert tersebut bagaikan satu malam berkonsep ‘healing’ buat para penonton.
Menurut Sufi, penganjuran konsert yang akan diadakan pada 9 dan 16 Disember ini di Singapore EXPO itu telah direncanakan bersama sebuah unit komiti yang menyaksikan pemilihan barisan artis juga diundi oleh orang awam.
“Pemilihan artis-artis yang akan terlibat dalam konsert itu nanti bukan dibuat oleh pihak SAH Entertainment sahaja. Tetapi kami ada unit komiti yang digelar SAHabat untuk terlibat sama menguruskan pemilihan artis yang turut melibatkan undian orang awam.
“Boleh dikatakan, konsert ini adalah yang pertama kali seumpamanya diadakan di Singapura dan yang pertama di Asia yang menampilkan barisan 10 artis original atau kumpulan popular yang asal.
“SAH Entertainment memang komited mahu memastikan semua barisan asal artis ini ada untuk menjayakan konsert ini untuk menghiburkan peminat-peminat menerusi seleksi lagu-lagu galau masing-masing,” katanya.
Sufi menambah, Konsert Galau akan menyatukan barisan 10 artis ternama dari tiga buah negara serantau iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Antara artis yang terlibat dari Indonesia ialah Judika, kumpulan Noah, Setia Band, ST12, Cakra Khan, D’Masiv dan Kangen Band.
Manakala artis dari Malaysia pula adalah kumpulan Insomniacks dengan Sufi Rashid dan Taufik Batisah pula mewakili Singapura.
Bagaimanapun, kata Sufi, kehadiran kumpulan Noah untuk Konsert Galau kali ini khusus sebagai tribute kepada kumpulan Peterpan.
Ini bermakna, vokalis Noah, Ariel bakal membawakan lagu-lagu hits daripada kumpulan Peterpan istimewa bagi menghiburkan peminat yang akan hadir ke konsert berkenaan.
Selain itu, jelas Sufi, penganjuran konsert dengan konsep dua malam merupakan yang pertama kali dilakukan di negara tersebut dan ia merupakan antara keunikan yang ingin ditampilkan oleh SAH Entertainment buat warga Singapura termasuk negara serantau.
“Konsert dengan konsep penganjuran selama beberapa hari, paling minimum dua hari, sudah biasa dilakukan di Indonesia mahu pun di Malaysia.Tetapi, jika di Singapura, konsep seperti ini masih dianggap baharu.
“Jadi, saya hadir dengan inisiatif ini untuk mendidik warga Singapura dengan memperkenalkan konsep konsert seperti ini supaya mereka dapat turut sama berhibur sambil menyaksikan artis kesayangan menyanyikan lagu-lagu galau kegemaran mereka dalam sebuah festival yang meriah.
“Kiranya, tak perlulah lagi mereka terbang ke negara jiran semata-mata untuk menonton persembahan artis kesayangan mereka. Ini kerana Konsert Galau Singapura juga ada!” katanya lagi.
Menyasarkan kehadiran seramai 12,000 penonton untuk dua malam penganjuran konsert tersebut, Sufi turut berharap orang ramai terutama peminat lagu-lagu galau sama ada dari Malaysia, Indonesia, Brunei atau di mana-mana sahaja dapat memberi sokongan untuk hadir ke konsert ini.
Malah, peminat yang hadir juga berpeluang memilih lokasi ruang mengikut tiga kategori yang disediakan iaitu Zon Galau untuk pengalaman ‘Galau’ yang eksklusif, Zon Berdiri dan juga Zon Duduk.
Tiket dijual pada harga yang mampu milik dari $88 hingga $168.
Tiket juga ditawarkan dengan diskaun 10% jika pembelian adalah untuk dua malam dan pembelian boleh tinjau menerusi media sosial Sufi Rashid.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Pelakon dan usahawan, Memey Suhaiza percaya setiap perkara yang berlaku dalam hidup pasti terselit hikmah, meskipun ada kalanya perlu berdepan pelbagai ujian dan cabaran.