#MHsemasa Ibu Hanya Mampu Melihat Tanpa Sebarang Reaksi, Jenazah Siti Nur Surya Selamat Dikebumikan

Share

Jika kelmarin si ibu hanya mampu menyaksikan mayat anaknya berlumuran darah akibat dibunuh dengan kejam di hadapan mata, berbeza pula kisahnya semalam.

Zaini Musa, 55 yang mengidap penyakit kanser otak tahap tiga sejak dua tahun lalu hanya mampu melihat anaknya, Siti Nor Surya diusung keluar dari ruang tamu rumahnya untuk dibawa ke tanah perkuburan sekitar jam 6.30 petang.

Menurut laporan Berita Harian, sebaik sahaja diusung keluar, suaminya, Ismail Muda, 58 memberi tahu apa yang sedang berlaku sambil memalingkan wajahnya ke arah keranda yang menempatkan jenazah anaknya itu.

Zaini dilihat hanya mampu memandang tanpa memberikan sebarang reaksi.

Jenazah Siti Nur Surya telah disembahyangkan di masjid kampung sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu pada jam 8.15 malam.

Ismail yang sempat ditemui pemberita memberi tahu, dia berharap agar si pelaku yang menyebabkan kematian anaknya itu akan menerima hukuman yang setimpal.

“Saya harap orang yang menyebabkan kematian Siti Nur Surya akan menerima hukuman yang setimpal.

“Dia (suspek) sering datang ke rumah, namun sejak beberapa bulan lepas agak jarang menemui kakak (Siti Nur Surya) di rumah. Saya benar-benar tidak sangka dengan kejadian yang menimpa,” katanya seperti yang dipetik.

Dalam kejadian pada Ahad, mayat Siti Nur Surya ditemui dengan kesan tetakan pada badan serta putus tangan kiri.

Polis pada Isnin telah pun menahan wanita yang juga merupakan rakan sekolah mangsa berusia 19 tahun bagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Berita Harian, Harian Metro

IKLAN