
Pelakon, Hun Haqeem mendakwa dia sudah beberapa kali berdepan dengan sikap segelintir rakan industri lain yang gagal menjaga disiplin serta bersikap seperti ‘diva’ ketika berada di set penggambaran.
Menurut Hun, situasi seperti itu mampu menjejaskan suasana kerja, apatah lagi apabila pelakon lain dan seluruh kru produksi sudah memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tanggungjawab masing-masing.
“Saya pernah melalui situasi seperti itu banyak kali. Bila kita terpaksa bercakap tentang sikap buruk seseorang, itu memang sangat ‘turn off’.
“Lebih-lebih lagi bila mereka tidak menjalankan tanggungjawab mereka 100 peratus.
“Pada akhirnya, kita kena menghormati kerja semua orang. Bila kita menghormati skop kerja masing-masing, pesekitaran kerja itu akan jadi best dan seronok.
“Bila adanya kejadian-kejadian yang tidak diinginkan, akan timbul perasaan yang tidak seronok. Kita jadi susah nak bersangka baik,” katanya kepada MH.
Hun berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan perdana What’s Next On Viu, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon filem Soloz: Game Of Life itu berpendapat pelakon yang mempunyai masalah disiplin seharusnya menjadikan sikap profesional yang ditunjukkan oleh pelakon senior sebagai contoh terbaik.
“Ada kalanya kita kena juga kerja dengan orang-orang seperti ini. Mungkin kita boleh jadikan situasi ini sebagai ruang untuk belajar dan perbaiki kelemahan.
“Mungkin orang-orang yang datang lambat ini, bila mereka lihat pelakon-pelakon senior yang berdisiplin, mungkin mereka akan berubah. Itu pun kaedah yang baik juga.
“Cuma kita kena sabar sahajalah dan kena didik diri supayan tidak terlalu tertekan,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Hun turut berkongsi pengalaman terpaksa menunggu hampir dua jam berikutan kelewatan pelakon lain.
Bagaimanapun, dia memilih untuk bersikap memahami kerana ada keadaan yang sememangnya di luar kawalan.
“Saya pernah kena menunggu hampir dua jam. Namun, saya seorang yang memahami situasi orang lain. Ada kalanya sesuatu perkara itu tidak boleh dijangka seperti kemalangan atau hal yang tak dapat dielakkan.
“Saya jenis tak kisah menunggu walaupun kena duduk di set hampir 24 jam. Cuma saya risau tentang orang lain. Ada diantara kru yang tidak tidur.
“Jika ada apa-apa yang berlaku, ia akan menyusahkan semua orang,” ujarnya lagi.
Ditanya reaksinya apabila terpaksa menunggu individu yang tidak menghargai masa orang lain, Hun menjelaskan dia lebih rela bersabar demi menjaga profesionalisme.
“Kita hanya bersabar sahaja. Sebagai pelakon, kita sudah gunakan hampir 100 peratus perasaan ketika penggambaran. Bagi saya pula, saya ada mentaliti untuk menjaga emosi saya sendiri.
“Emosi saya adalah milik karya yang sedang saya jalankan. Kalau emosi saya tertanggu, profesinalisme saya juga terganggu. Saya kena tahu untuk mengawal perasaan,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini