
Penyanyi Kaka Azraff menjelaskan segala hantaran yang dikongsikan di media sosial sejak kebelakangan ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan kisah peribadinya.
Menurut Kaka, setiap perkongsian yang dibuat berdasarkan pengalaman serta pemerhatiannya terhadap pelbagai situasi yang berlaku dalam kehidupan sekeliling.
“Bila saya bercerita tentang sesuatu perkara, ia bukanlah spesifik tentang seseorang. Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Malah, ia bukan hanya pengalaman saya sahaja, ada juga kisah yang dikongsikan orang lain.
“Ketika ini, saya berada di fasa yang sudah pun melalui pelbagai perkara. Saya sudah merasai kehilangan ibu bapa dan adik beradik, perceraian, perkahwinan dan anak-anak.
“Jadi, ada sesuatu untuk dikongsikan. Niat saya hanyalah untuk berkongsi. Mungkin ada yang melalui situasi sama atau lebih teruk. Saya hanya ingin memberikan inspirasi.
“Biar orang lain dapat kembali bangkit dan kuat. Saya pernah berada di situasi itu. Bila dengar perkongsian orang, saya dapat semangat,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Lepaskanlah itu berkata demikian ketika ditemui pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) di Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu, Kaka turut menepis dakwaan yang mengaitkan hantaran berkenaan dengan bekas suaminya, Adam Azriff.
“Ia bukan tentang kisah peribadi atau bekas suami saya. Alhamdulillah, saya dan bekas suami dapat bersama-sama menjaga anak secara co-parenting.
“Kami juga baru pertama kali lalui situasi seperti ini. Kami pun sedang mencari kesesuaian. Hubungan kami baik-baik sahaja,” ujarnya lagi.
Selain berkongsi dengan individu terdekat, Kaka berkata dia lebih selesa meluahkan perasaannya menerusi penulisan lagu.
“Bercerita dengan orang juga perlu. Saya juga membuat journaling. Namun bagi saya, menulis lagu adalah medium paling tepat. Sebab itu saya meluahkan tanpa tapisan.
“Bagaimanapun, saya juga meletakkan batas dalam berkarya kerana saya mahu lagu saya itu punyai mesej yang positif.
“Bila berada di fasa terendah, ada kalanya yang dizahirkan adalah rasa-rasa yang tidak baik. Jadi, saya akan selalu bercerita dengan kawan-kawan dan ahli keluarga.
“Apa yang saya belajar, kita kena luahkan apa yang kita rasa. Kita bercerita bukan untuk burukkan orang tapi untuk melepaskan apa yang terbuku,” akhirinya.
Terdahulu, Kaka dan suaminya, Adam Azriff sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Jun lalu.
Untuk rekod, pasangan itu pernah bercerai pada Oktober 2024 sebelum kembali rujuk pada awal 2025 ketika masih dalam tempoh idah.
Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aslan, Aryan dan Atta Adam.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.