Pengacara dan ikon fesyen popular, Wak Doyok, mendedahkan dia menumbuk Zizan sehingga hidung selebriti itu berdarah dan dia pula senak dipukul pelakon A Galak.
Menjelaskan insiden yang berlaku, Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 37, berkata, semua itu kerana mereka mahukan babak aksi dalam Abang Long Fadil 2 nampak real dan komitmen yang tinggi terhadap watak masing-masing.
“Pengarah Syafiq Yusof minta saya beberapa kali buat aksi menumbuk Zizan. Mula-mula jauh, dan dia minta ke depan sikit, bila dah dekat, itu yang kena hidung Zizan sampai berdarah.
“Untuk babak bergaduh dengan A Galak, saya pula yang teruk dipukul. Umur saja 78 tahun, tapi kudratnya macam usia 38 tahun. Senak juga perut bila betul-betul dipukul guna tongkat,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem berkenaan baru-baru ini.
Bagaimanapun, pelakon itu tidak serik malah menganggap semua itu pengalaman berharganya.
Tambah Wak Doyok, selain berlakon, dia juga berpeluang berkongsi ilmu fesyen dengan pelakon dan pengarah.
Katanya, kebanyakan sut A Galak dan Zizan, dia yang pilihkan termasuk tunjuk ajar mengikat tali leher.
“Saya mahu mereka smart dan natural, contohnya, jika tie terbuka, saya minta mereka biarkan saja.
“Maklumlah filem ini nampak macam filem international, jadi cara berpakaian pun biarlah level international,” katanya.
Di sebalik cerita suka-duka itu, Wak Doyok berkata, dia beberapa kali menolak tawaran Syafiq.
“Saya tahu saya tak pandai berlakon. Jadi saya tak mahu menimbulkan masalah. Tapi Syafiq berjaya yakinkan saya dan ia satu cabaran mencuba bidang berbeza,” katanya.
Justeru. sebagai persediaan, dia berlatih bercakap di depan cermin dan sepanjang penggambaran Syafiq boleh menerima caranya.
Wak Doyok juga mahu terus aktif berlakon selepas ini, tetapi fesyen tetap keutamaannya.
“Saya akan berlakon kalau ada masa terluang. Watak apa pun saya tak kisah,” ujarnya.
Abang Long Fadil 2 bakal menemui penonton 24 Ogos ini. Filem ini turut dibintangi Syamsul Yusof, Tania Hudson, Achey Bocey dan Mas Khan.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI