
Perhubungan cinta yang dibina lebih sedekad akhirnya menemui noktah apabila pelakon Hollywood, Haylie Duff dilaporkan berpisah dengan tunangnya, Matt Rosenberg selepas 12 tahun bertunang.
Menurut laporan media antarabangsa, hubungan pasangan ini sebenarnya telah berakhir sekitar awal tahun 2026, namun perkara tersebut hanya disahkan wakil Haylie baru-baru ini. Perpisahan itu dikatakan berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, malah kedua-duanya memilih untuk menjaga privasi demi anak-anak.
Untuk rekod, Haylie dan Rosenberg mula menjalin hubungan sejak 2012 sebelum mengikat tali pertunangan pada April 2014. Sepanjang tempoh tersebut, pasangan ini dilihat selesa menjalani kehidupan seperti suami isteri walaupun tidak pernah melangsungkan perkahwinan secara rasmi.
Dalam beberapa temu bual sebelum ini, Haylie pernah menyifatkan hubungan mereka sebagai sudah “cukup lengkap” biarpun tidak berkahwin, apatah lagi dengan kehadiran dua cahaya mata perempuan yang menjadi keutamaan dalam hidup mereka.
Pasangan ini dikurniakan dua anak iaitu Ryan dan Lulu, yang kini masing-masing semakin membesar dan menjadi fokus utama mereka selepas perpisahan tersebut.
Walaupun hubungan cinta mereka tidak berakhir di pelamin, sumber terdekat memaklumkan kedua-duanya masih mengekalkan hubungan baik sebagai ibu bapa demi memastikan kebajikan anak-anak terus terpelihara.
Perkembangan ini nyata mengejutkan ramai, lebih-lebih lagi selepas pasangan tersebut melalui tempoh pertunangan yang cukup panjang, sekali gus mengundang persoalan mengenai hala tuju sebenar hubungan mereka sebelum ini.
